FOTO : Perbadanan Stadium PSDM
UCAPAN kesyukuran terbit di bibir pengendali Pahang, Mohd Yazeed Hamzah sebaik sahaja pengadil meniupkan wisel penamat dalam pertandingan akhir Piala Emas Raja-Raja edisi ke-101 di Kuantan, pada Ahad.
Sedar Terengganu akan mengamalkan corak serangan kilat, taktikal direncanakan sebaik aksi bermula dapat diterjemahkan begitu baik para pemain sepanjang 90 minit.
“Alhamdulillah, misi berjaya apabila bermain mengikut apa yang kita susun dan dirancang kerana Terengganu bukanlah satu pasukan yang kita boleh pandang rendah.
“Memang kita siap sedia kerana kita tahu lawan akan bagi tekanan dan kita plan bermain dengan serangan balas. Terima kasih kepada pemain pemain dan paling penting syukur Alhamdulillah kepada Allah,” katanya selepas perlawanan.
Menurut Mohd Yazeed, tambah manis ini merupakan kali pertama dirinya melibatkan diri dalam pertandingan Piala Emas Raja-Raja.
Jelasnya lagi, saingan ini menjadi platform bakat bakat muda yang boleh diketengahkan bagi pasukan negeri khususnya untuk bawah 23 bawah 20, bawah 18 dan banyak lagi ‘ubi muda’ yang muncul.
Pahang menjulang trofi Piala Emas Raja-Raja selepas berjaya mengalahkan Terengganu 4-1 dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Darul Makmur.
Kejayaan skuad Tok Gajah itu membolehkan mereka mengulangi pencapaian 2018 lalu sekali gus merampas mahkota kejuaraan dari Selangor yang terkandas di separuh akhir.
Dalam aksi akhir itu, tiga gol Pahang diraih menerusi Muhammad Fitri Aziq yang meledak dua gol pada minit 27 dan 72, manakala Muhammad Zarih Izzuddin dan Muhammad Amin Che Jusoh masing-masing meledak satu gol minit 72 dan 92.
Kejayaan itu membolehkan mereka meraih wang kemenangan bernilai RM80,000 berserta medal dan trofi.