PASUKAN SSL Malaysia melangkah ke pusingan kedua Piala Emas Star Sailors League (SSL) di Gran Canaria, Sepanyol, apabila menjuarai Kumpulan 3 selepas empat hari perlumbaan pada pusingan penyingkiran 1/32.

Dengan pelayar Olimpik, Khairulnizam Mohd Affendy menjadi jurumudi dibantu oleh pemenang pingat emas Sukan Asia Hangzhou 2022, Nur Shazrin Mohamad Latif, sebagai jurutaktik, Malaysia menduduki tempat pertama dalam Kumpulan 3 dengan 16 mata, di depan Bermuda (12 mata), Antigua and Barbuda (ketiga) dan Ukraine di tangga keempat.

“Perlumbaan cukup sengit dan kami sangat berpuas hati dengan keputusan ini kerana pelayar negara banyak berkorban untuk bersaing di sini. Kami menjalani persiapan rapi sebelum pertandingan, dan untuk Malaysia yang jarang bertanding dalam perahu layar keelboat di pentas antarabangsa, kami sangat bersyukur atas kemaraan ini dan bersedia untuk beraksi di Pusingan 1/16.

“Kami memang sangat bangga melangkah sejauh ini kerana pelayar kami tidak biasa bersaing sebagai satu pasukan kerana kebanyakan mereka berlatarbelakangkan pengalaman dalam kategori Laser atau bot dinghy. Untuk melangkah ke pusingan penyingkiran kedua di hadapan Penaung Diraja kami, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah adalah satu momen yang besar,” kata ketua pasukan, Megat Danial Megat Najmuddin.

Khairulnizam, yang berusaha untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 bagi kali keempat berturut-turut, berpuas hati dengan prestasi pasukan.

“Ia benar-benar detik istimewa mengakhiri perlumbaan 4 dengan penuh dramatik apabila kami menghabiskan perlumbaan di tangga pertama. Kami hampir-hampir memenangi perlumbaan 1 dan 3 tetapi kemenangan kami pada perlumbaan 4 untuk menjuarai Kumpulan 3 adalah detik yang istimewa,” kata Khairulnizam.

Sebelum ini, Malaysia menduduki tempat kedua di belakang Antigua dan Barbuda dalam perlumbaan 1 pada 10 November, diikuti dengan tempat ketiga di belakang Antigua dan Barbuda serta Ukraine dalam perlumbaan 2 pada 11 November. Pasukan teratas menerima 4 mata, kedua (3 mata), ketiga (2 mata) dan keempat (1 mata).

 

 

Dalam perlumbaan 3 pada 12 November, Malaysia menduduki tempat kedua di belakang Antigua dan Barbuda sebelum memastikan kelayakan ke pusingan seterusnya dengan penuh bergaya apabila memenangi perlumbaan 4 pada 13 November, sekali gus mengutip 8 mata untuk jumlah keseluruhan 16 mata bagi menjadi antara lapan negara dari pusingan 1/32 yang mara ke pusingan seterusnya.

Untuk pusingan penyingkiran 1/16 pada 16-19 November, Malaysia akan bertemu dengan Austria, Chile dan Estonia. Estonia layak selepas menduduki tempat kedua dalam Kumpulan 2 pusingan 1/32, di belakang Portugal.

Jika Malaysia berjaya membuat kejutan dengan menduduki dua tempat teratas dalam pusingan 1/16, pasukan keelboat nasional akan bertemu dengan dua daripada lapan negara yang berkedudukan dalam kelompok 9-16 terbaik dalam ranking dunia SSL dalam pusingan penyingkiran 1/8.

Selain Khairulnizam dan Nur Shazrin, pasukan SSL Malaysia terdiri daripada veteran regata Ahmad Faizul Aswad Mohamed (Grinder), Ahmad Hakhimi Ahmad Shukri (Trimmer), Ahmad Syukri Abdul Aziz (Offside Trimmer), Mohd Azhar Sadon Zubir (Pitman), Uzair Amin Mohd Yusof (Mainsail Trimmer), Mohd Akiyuddin Mat Zaki (Bowman), Asri bin Azman (Floater), Mohd Amsyar Syahmi Mohd Ajwi (Spare Trimmer) dan Ahmad Khairulhafiz Mohd Khmbali (Spare Floater).

Piala Emas SSL diiktiraf oleh badan induk pelayaran antarabangsa World Sailing sebagai Piala Dunia rasmi negara yang akan menobatkan negara terbaik dalam sukan ini.

Keputusan Kumpulan 3 Pusingan 1/32 (10-13 Nov)

Perlumbaan 1 (10 Nov) 1. Antigua dan Barbuda 2. Malaysia
3. Ukraine

4. Bermuda

(Pasukan teratas menerima 4 mata, pasukan kedua (3 mata), pasukan ketiga (2 mata) dan pasukan keempat (1 mata).

Perlumbaan 2 (11 Nov)

1. Antigua dan Barbuda 2. Ukraine
3. Malaysia
4. Bermuda

Perlumbaan 3 (12 Nov)

1. Bermuda
2. Malaysia
3. Ukraine

4. Antigua dan Barbuda

Perlumbaan 4 (13 Nov)

1. Malaysia
2. Bermuda
3. Antigua dan Barbuda 4. Ukraine

KUMPULAN 3 KESELURUHAN

1. Malaysia 16 mata
2. Bermuda 12 mata
3. Antigua dan Barbuda 12 mata 4. Ukraine 8 mata