SELANGOR FC enggan melepaskan peluang terhidang untuk mara terus ke perlawanan akhir Piala FA 2022.

Bertemu Terengganu FC di halangan separuh akhir pada Sabtu, pengendali Merah Kuning Micheal Feichtenbeiner mahukan anak buahnya beraksi sebaik mungkin walaupun berdepan tekanan penyokong tuan rumah.

Meskipun rekod Selangor ke atas Terengganu tidak begitu baik dalam beberapa aksi musim lepas namun lelaki warga Jerman itu memberitahu pentas saingan Piala FA adalah berbeza.

“Kita bermula baik kempen kali ini dan tidak lagi bolos sejak dari pusingan pertama.

“Kami datang ke sini (Gong Badak) hanya untuk menang dan terus layak ke final.

“Berita baik semua pemain bebas dari kecederaan kecuali Safuwan Baharudin yang terus diketepikan,” katanya ditemui media di hotel penginapan pada Jumaat.

 

Selangor miliki reputasi hebat dalam pertandingan ini apabila lima kejuaraan berjaya diraih pasukan dari Lembah Klang itu iaitu tahun 1991, 1997, 2001, 2005 dan 2009.

Kali terakhir Selangor meneruskan kemaraan ke pentas final adalah pada tahun 2018 tetapi kecundang 2-0 kepada Pahang.