SAINGAN pusingan kedua Piala FA 2022 bakal menyaksikan lapan pasukan beraksi yang sudah pastinya masing-masing akan cuba memburu kemenangan penting pada 13 dan 14 Mei ini.

Undian yang berlangsung secara atas talian pada Selasa menyaksikan derbi Lembah Klang antara Selangor FC dan Kuala Lumpur City FC bakal bersua muka di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malah pastinya perlawanan ini dijangka menjadi tumpuan dengan aksi hangat kedua-dua pasukan.

Turut berada dalam kelompok lapan terbaik ini adalah Perak FC yang membuktikan kemelut gaji membelenggu pasukan tidak menghalang mereka untuk mara ke peringkat ini dengan bertemu Penang FC.

Sementara itu, Johor Darul Ta’zim (JDT) pula diundi bertemu Sarawak United dan pastinya skuad kendalian B.Sathianathan tidak mahu mengulangi keputusan perlawanan Liga Super sebelum ini yang mana mereka tewas 6-0 di Stadium Sultan Ibrahim.

Wakil tunggal Liga M3, Perlis United akan menjadi tuan rumah kepada Kuching City FC manakala skuad muda Projek FAM-MSN bakal berkunjung ke Kuantan bertemu Sri Pahang FC.

Sabah pula akan melayan kunjungan Kelantan United di Likas sementara Melaka United bakal berhadapan skuad lokal pimpinan P.Maniam di Stadium Hang Jebat.

Kedah Darul Aman FC pula berdepan cabaran hebat apabila akan menentang pemenang perlawanan tertunda antara Terengganu FC dan Negeri Sembilan.

Pasukan manakah yang bakal muncul lapan pasukan terbaik untuk layak ke peringkat suku akhir. Sama-sama kita saksikan kehebatan dan magis Piala FA Malaysia 2022 ini nanti.