PENTAS final Piala FA 2022 menjadi idaman penyerang Terengganu FC, Mohd Faisal Halim yang bertekad menjulang pasukannya meraih kemenangan ke atas Selangor FC pada Sabtu.
Aksi separuh akhir kedua-dua kelab itu dijangka menarik perhatian ramai untuk menyaksikan perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.
Justeru itu, Faisal enggan mengecewakan harapan menggunung peminat setia Peteh Ganu Peteh yang merindui kembali pentas final kejohanan ini sejak 2011.
“Peluang ini dah datang bergolek kita kena ambil sebaik mungkin.
“Saya harap dapat bantu pasukan tidak kira saya jaringan gol atau tidak apa yang penting pasukan saya layak ke final,” katanya yang miliki ketinggian 1.58 meter.
Untuk rekod, Faisal berjaya mengecapi nikmat bergelar pemenang Piala FA tahun 2018 sebagai pemain gantian ketika bersama Pahang.
Menurut pemain asal Seberang Jaya, Pulau Pinang itu lagi, misi utamanya adalah menghabiskan saingan dalam masa 90 minit.
“Apabila perlawanan kalah mati sudah tentu kedua-dua pasukan bermain lebih berhati-hati dan tidak membuat kesilapan yang mudah.
“Pada saya 90 minit adalah lebih baik,” ujar tonggak Harimau Malaya itu.
Atas kertas Terengganu miliki kelebihan dan mendapat sokongan padu daripada puluhan ribu yang bakal memenuhi segenap penjuru stadium yang berkapasiti 50,000 penonton.