SKUAD Penang FC mempunyai misi tersendiri apabila turun dalam pertemuan separuh akhir Piala FA menentang pasukan gergasi Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim malam ini.
Walaupun dibelenggu kecederaan dan beraksi dalam keadaan tidak menentu, namun barisan pemain Penang FC mahu membuktikan kemampuan mereka sekaligus mengejutkan Harimau Selatan di laman mereka sendiri.
Pengendali Penang FC, Datuk Zainal Abidin Hassan berkata pasukannya sedar dengan lawan yang bakal dihadapi namun mereka bersedia untuk menghadapi perlawanan ini sama ada 90 atau 120 minit.
Zainal juga percaya anak-anak buahnya mampu memberikan tekanan kepada JDT kerana perlawanan kalah mati ini mampu memberikan elemen kejutan yang menarik
“Saya sedar bukan mudah berhadapan JDT di Iskandar Puteri namun para pemain sudah bersedia untuk mengharungi permainan sama ada 90 minit atau 120 minit sekalipun.
“Perlawanan ini juga hanya satu pusingan jadi kami perlu berikan tekanan kepada JDT kerana ianya akan memberikan peluang kepada Penang untuk mencipta kejutan,” kata pengendali berusia 60 tahun ini.
Kehadiran Penang FC ke Stadium Sultan Ibrahim juga turut mendapat sokongan daripada penyokong Harimau Kumbang apabila lebih 10 bas mengikuti rombongan ke Iskandar Puteri ditambah para penyokong Penang di Johor sendiri.
Bersandarkan rekod di Liga Super, Penang FC dilihat dapat menekan JDT meskipun terpaksa akur dengan kekalahan 1-0 dalam kedua-dua perlawanan dan ini akan menjadi kunci semangat buat para pemain.
Kini hanya ada satu halangan sahaja lagi yang perlu ditempuh Harimau Kumbang untuk mencipta sejarah mengulangi pencapaian layak ke final sejak 2002.