TANPA segan silu, pengendali Selangor FC, Micheal Feichtenbeiner mengucapkan syabas kepada Terengganu FC yang melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala FA 2022.
Menurutnya, kedua-dua pasukan beraksi cemerlang tetapi hanya dibezakan kekalahan menerusi penentuan sepakan penalti.
“Pertama kali saya harus ucapkan tahniah kepada Terengganu FC dan selamat berjaya dalam aksi final.
“Sudah tentu kami bolos dengan jaringan awal penyamaan di babak kedua tetapi semasa tambahan masa kami semakin dekat dan ada beberapa peluang untuk mencipta kemungkinan dan akhirnya sepakan penalti sentiasa menjadi 50-50.
“Tiada sesiapa perlu dipersalahkan,” kata jurulatih asal Stuttgart, Jerman berusia 62 tahun itu.
Dia akui hampir mustahil mengekang Terengganu yang tampil corak permainan kemas khusus bawah 20 minit pertama sebelum tercetusnya gol pertama mereka.
“Kelab kalah hari ini (semalam) tapi aksi yang dipamerkan oleh para pemain sentiasa baik dan beri komitmen atas padang.
“Tetapi keseluruhan kami miliki peluang terbaik sepanjang 120 minit. Ada peluang untuk menang permainan.
“Satu pasukan akan kalah penentuan penalti,” ujarnya lagi.
Selangor bermula baik kempen kali ini dan tidak bolos sejak dari pusingan pertama sehinggalah gawang bocor oleh jaringan penyamaan Mohd Faisal Halim.
Penyingkiran Selangor bererti kali terakhir meneruskan kemaraan ke pentas final adalah pada tahun 2018 tetapi kecundang 2-0 kepada Pahang.
Terdahulu, pasukan dari Lembah Klang pernah meraih lima kejuaraan iaitu tahun 1991, 1997, 2001, 2005 dan 2009.