PENJAGA gol Terengganu FC (TFC), Rahadiazli Rahalim muncul wira Sang Penyu membantu pasukannya mara ke final Piala FA selepas mengalahkan Selangor 4-2 menerusi sepakan penalti sebentar tadi.
Aksi permainan 120 minit sebelum itu tamat dengan kedudukan 1-1 sebelum permainan diheret ke masa tambahan dan penentuan sepakan penalti.
Awal permainan memihak TFC yang memiliki peluang menerusi tandukan Kipe Tchetche pada minit ke-18 disusuli percubaan leret Habib Haroon yang tepat ke dakapan Sam Somerville (m-21).
Namun Selangor sebaliknya mengejutkan tuan rumah apabila hantaran Quentin Cheng dari sebelah kanan disambar Nor Hakim Hassan pada minit ke-24 untuk pasukannya mendahului 1-0.
TFC berpeluang mengikat kedudukan namun sepakan voli menarik daripada Kipre Tchetche sekadar menggegar palang gol pelawat pada minit ke-42.
Tiga minit bersambung babak kedua, Faisal Abdul Halim menceriakan lebih 33,000 penyokong TFC setelah berjaya melepasi tiga pemain dan menewaskan Somerville untuk mengikat kedudukan 1-1.
Tiada tambahan jaringan sehingga tamat 120 minit permainan dengan pengadil, Zulkarnain Zakaria terpaksa meniup wisel untuk membawa ke pemenang ditentukan dengan penentuan penalti.
Rahadiazli cemerlang menafikan sepakan Aliff Haiqal Lokman dan Yazan Al-Arab sebelum Shahrulnizam Roshasni menyudahkan sepakannya untuk kemenangan 4-2 buat tuan rumah.
Kali terakhir Penyu mara ke pentas final adalah pada 2011 manakala lawan yang ditentang adalah Johor Darul Ta’zim yang muncul kejohanan ini pada 2016.