TERENGGANU FC (TFC) tidak berdepan masalah untuk mara ke separuh akhir Piala FA selepas mengatasi Kuching City 4-1 di peringkat suku akhir di tempat sendiri Sabtu malam.
Skuad kendalian Nafuzi Zain itu membuka tirai jaringan pada minit ke-23 melalui pemain sayap, Mohd Faiz Nasir yang menanduk hantaran Azam Azmi Murad dari sebelah kanan.
TFC bagaimanapun dikejutkan pemain gantian Kuching City, Amir Amri Salleh yang menyamakan kedudukan 1-1 berpunca kesilapan pertahanan, Argzim Redzovic pada minit ke-43.
Selepas sepuluh minit bersambung babak kedua, Amir Amri sekali lagi mencemaskan TFC namun voli dari luar kotak penalti tepat ke arah penjaga gol, Rahadiazli Rahalim.
Ketua pasukan, Kipre Tchetche muncul wira TFC apabila masuk dari bangku simpanan sebelum menanduk hantaran Petrus Shitembi dari sebelah kanan pada minit ke-73.
Kem tuan rumah terus ceria apabila Tchetche yang menerima umpanan Nik Sharrif Haseefy Mohd Lazim bijak menggelecek penjaga gol dan menolak masuk bola untuk gol ketiga pada minit ke-79.
Pemain lincah, Faisal Abdul Halim (m-87) melengkapkan kemenangan bergaya 4-1 menerusi sepakan leret dari luar kotak penalti sekaligus membawa TFC ke separuh akhir bertemu Selangor FC.