KETUA jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain tidak melihat satu kelebihan beraksi di gelanggang sendiri menjelang pertembungan pusingan kedua Piala FA 2022 bertemu Kedah Darul Aman (KDA) FC pada Rabu.
Perlawanan tertunda ini sepatutnya berlangsung pada 13 Mei lepas namun ditangguhkan ke malam esok di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin bermula jam 9 malam.
“Kedah satu pasukan yang prestasinya tengah baik selepas kempen Piala AFC.
“Seperti yang kita tahu perlawanan ini adalah kalah mati walaupun bermain di gelanggang sendiri bukan satu kelebihan.
“Yang penting pemain cepat recovery, mendapat rehat secukupnya terutama dari segi kecergasan untuk mereka pamer aksi 100 peratus dalam padang,” kata pengendali berusia 43 tahun itu.
Sang Penyu dijangka mempertaruhkan kelibat Faisal Halim dan Kpah Sherman untuk mengucar-kacirkan dan merobek barisan pertahanan Kedah.
Pemenang antara KDA FC dan Terengganu di pusingan ini akan menjadi tuan rumah di peringkat suku akhir serta separuh akhir.
Lawan yang bakal menanti mereka di fasa lapan pasukan terbaik adalah Kuching City FC.