KERAJAAN Johor mengisytiharkan Ahad sebagai cuti khas peristiwa sempena kejayaan gemilang pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Piala FA 2023.

Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pemberian cuti khas peristiwa ini dibuat kerana berjaya merangkul Piala FA 2023 menentang Kuala Lumpur City FC dengan jaringan gol 2-0, serta mempertahankan kejuaraan tahun lalu dengan penuh gaya.

“Menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim, dengan ini Kerajaan Negeri Johor memutuskan untuk mengisytiharkan hari Ahad, 23 Julai 2023, sebagai Hari Cuti Peristiwa bagi seluruh rakyat Negeri Johor sempena kejayaan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Piala FA 2023.

“Menjunjung kasih Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor atas segala perancangan serta usaha berterusan dalam membangunkan JDT menjadi sebuah kelab bola sepak yang disegani di Malaysia dan di rantau Asia,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Kemenangan Skuad Harimau Selatan ini merupakan piala kedua untuk tahun 2023, setelah memenangi Piala Sumbangsih awal tahun ini, serta Piala FA ketiga buat JDT, selepas tahun 2016 dan tahun 2022.

“Buat semua peminat JDT, teruslah memberikan sokongan penuh dan menjadi pemain ke-12 untuk setiap perlawanan yang akan datang,” kata kenyataan itu lagi.