TERENGGANU FC (TFC) tidak berdepan masalah untuk mengatasi wakil Liga M3, Melaka FC 4-0 dalam pusingan kedua Piala FA sekali gus mara ke suku akhir di laman sendiri, sebentar tadi.
Naib juara tahun lalu itu tidak menunggu lama untuk mendahului melalui penyudah kemas Ivan Mamut seawal minit kelima meskipun dikawal rapi tiga pertahanan Melaka FC.
Gol itu menyuntik moral TFC menyaksikan voli Jordan Mintah pada minit ke-13 tersasar ke sebelah tepi ketika penjaga gol lawan, Daniel Wafiuddin Sa’dun sudah tertewas.
Sang Penyu dihidangkan peluang terbaik selepas rehat berpunca sepakan penjuru Arif Fadzillah Abu Bakar namun tandukan Safwan Mazlan ditepis Daniel Wafiuddin pada minit ke-56.
Kem TFC nyaris dikejutkan pelawat mujur penjaga gol, Rahadiazli Rahalim (m-61) menafikan sepakan bebas Shafiq Al-Hafiz Dawawi dari sudut sukar untuk kedudukan kekal 1-0.
TFC memperkemaskan rentak selepas itu dan hasilnya pemain gantian, Hakimi Abdullah menyambar hantaran Mintah menewaskan Daniel Wafiuddin buat kali kedua.
Mintah kemudian muncul penjaring gol TFC selepas menggelecek penjaga gol lawan untuk mudah menolak masuk bola ke pintu gol yang terbuka luas pada minit ke-82.
Penyerang Ghana mencetak gol kedua peribadi apabila menyudahkan umpanan Engku Nur Shakir Engku Yacob dari sebelah kanan sekali gus melengkapkan kemenangan 4-0 buat TFC.