JURULATIH Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner, akan mengetepikan persahabatan bersama pengendali KL City FC, Bojan Hodak, pada aksi separuh akhir Piala FA, esok.
Menurut jurulatih yang mesra disapa Tomi itu, Bojan dianggap ‘musuh’ untuk 90 minit bagi memastikan impian membawa Sang Penyu ke pentas akhir dapat direalisasikan.
Tomi mengakui Bojan yang turut berasal dari Croatia merupakan antara individu paling rapat dengan tempoh perkenalan lebih 25 tahun sejak mengenalinya ketika masing-masing bergelar pemain.
“Kami juga pernah bertemu sesama sendiri ketika sama-sama beraksi dalam Liga Singapura pada 1999 dan sehingga sekarang berkawan baik terutama di luar padang.
“Jika ada kesempatan, kami juga sering berhubung atau berjumpa dan antara topik perbualan adalah keluarga serta bola sepak. Tetapi ianya berbeza malam esok.
“Tiada lagi istilah kawan dan TFC akan beri persembahan terbaik untuk melangkah ke perlawanan akhir Piala FA,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN pada sesi latihan, semalam.
Dalam pada itu, Tomi turut mempersiapkan anak-anak buahnya menghadapi kemungkinan termasuk perlawanan diheret ke masa tambahan atau penentuan sepakan penalti.
Katanya, pertemuan ini ujian getir buat TFC dengan prestasi semasa kapten KL City FC, Paulo Josue bersama Harimau Malaya serta Kipre Tchetche yang kembali menemui sentuhan jaringan.
Namun bekas jurulatih T-Team itu tidak akan hanya memberi tumpuan kepada dua pemain itu tetapi juga tonggak seperti Romel Morales, Patrick Reichelt, Zhafri Yahya dan Haqimi Azim Rosli.
“Semua pemain sedia untuk diturunkan kecuali Syafik Ismail yang mengalami kecederaan jangka panjang selain Hairiey Hakim Mamat dan Sardor Kulmatov yang belum cergas 100 peratus.
“Saya optimis kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dapat membantu TFC pada perlawanan ini dan pemain-pemain juga tahu tugas mereka di atas padang,” tambahnya lagi.