PEMAIN sayap kiri Penang FC, Adib Raop tetap bersedia untuk terus fokus aksi Piala FA pula esok selepas selesai tugasan bersama skuad kebangsaan.

Bakal berdepan Sri Pahang FC dalam pusingan pertama Piala FA, Adib menyifatkan tahap kecergasannya masih di tahap terbaik meskipun hanya dapat kembali berlatih bersama kelab satu hari sahaja.

Bahkan, dia gembira apabila dapat menjaringkan gol debut untuk aksi pertamanya bersama Harimau Malaya menentang Taiwan dalam Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 semalam sambil menganggap jaringan itu menaikkan lagi semangatnya untuk terus memburu gol peribadi pada perlawanan akan datang.

Adib meraikan kejayaan menjaringkan gol pertama dalam karier kebangsaan.

Walau bagaimanapun, untuk perlawanan Piala FA ini, Adib sentiasa bersedia untuk diturunkan sekiranya berada dalam kesebelasan utama bagi membantu pasukan menghadapi anak buah Fandi Ahmad di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh.

“Saya akan cuba faham dengan taktikal jurulatih (Akmal Rizal) untuk menentang Sri Pahang nanti dan sekarang tiada masalah pun daripada segi kecergasan.

“Saya juga dah banyak belajar daripada skuad kebangsaan yang boleh diterapkan untuk aksi Piala FA ini dan telah banyak membantu saya untuk menjadi pemain lebih matang.

“Apatah lagi dapat menjaringkan gol peribadi yang pertama buat skuad kebangsaan, saya semakin positif untuk terus berikan yang terbaik di atas padang,” jelasnya.

Pemain berusia 25 tahun ini juga mengakui perlawanan menentang Sri Pahang bukan mudah selain menganggap pemain import mereka antara yang boleh memberi ancaman besar kepada Penang FC.

“Bagi saya, Sri Pahang bukanlah kelab yang boleh kita pandang rendah sebab mereka mempunyai ramai pemain berkualiti.

 

Pemain Sri Pahang FC giat menjalani latihan. Mereka tidak bermain dalam apa-apa perlawanan kompetitif sejak 19 Mei lalu.

“Import mereka juga memang bagus dan berpengalaman jadi kami di Penang FC memang kena buat sesuatu yang berbeza untuk cuba mendapatkan kemenangan Jumaat ini,” tambahnya.

Saingan pusingan pertama Piala FA bermula semalam dengan menyaksikan pasukan Liga A1, Malaysian University Football Team mencipta kejutan menewaskan pasukan PDRM FC dengan keputusan 3-0.

Selain perlawanan Sri Pahang berdepan Penang pada Jumaat, tiga lagi aksi adalah membabitkan Kuala Lumpur City FC melawan Kuching City FC, Terengganu FC bertemu Perak FC dan Kedah Darul Aman FC pula menentang Bukit Tambun FC.

Baki tiga perlawanan lagi berlangsung pada Sabtu menyaksikan Selangor FC akan menerima kunjungan Negeri Sembilan FC, Sabah FC melawan KL Rovers FC manakala Kelantan FC akan berkunjung ke Stadium Sultan Ismail menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).