PENYERANG Kuching City FC, Nur Shamie Iszuan tekad untuk mempertahankan kelebihan yang ada pada pasukannya di perlawanan suku akhir kedua Piala FA 2024-25 antara The Cats dan The Red Giants setelah mendahului 2-1 di Stadium Negeri, Kuching tempoh hari.

Menurut pemain yang baru bersama Kuching City pada musim ini, dirinya tidak sesekali berasa lega dengan kelebihan satu jaringan yang akan dibawa ke pentas suku akhir kedua, lebih-lebih lagi beraksi di laman Stadium MBPJ.

Walaupun Shamie mengakui pasukannya sedang berada di landasan terbaik untuk melangkah ke separuh akhir Piala FA, namun sikap berjaga-jaga semestinya tidak lekang untuk memastikan impian dan perjalanan pasukan ke peringkat seterusnya berjalan dengan lancar.

Sesi latihan Kuching City FC.

“Apabila bermain di rumah sendiri ‘home’, sudah tentu Selangor akan bagi 100 peratus untuk menang. Tetapi, untuk Kuching, kita hanya ikut apa yang diaturkan oleh ketua jurulatih, iaitu bermain seperti biasa.

“Saya cuma berharap kita dapat pertahankan kelebihan satu gol yang diperoleh di sini (Kuching), seterusnya mengharapkan kemenangan berlanjutan di sana (Selangor).

“Kalau boleh, kita mesti nak tambahkan jaringan kerana satu gol itu mungkin tidak cukup kerana kita main ‘away’. Jadi memang sasaran untuk tambah lebih banyak jaringan, jikalau ada rezeki.

Antara momen jaringan Kuching City tempoh hari.

“Saya juga melihat pasukan kita sedang berada di tahap terbaik, dengan semangat pemain yang tinggi, pengurus pasukan yang terus berikan sokongan, kita harap dengan kelebihan ini kita boleh mara lebih jauh,” kata Shamie kepada FLASH SUKAN.

Dalam masa yang sama, pemain berusia 29 tahun itu turut mendedahkan bahawa terdapat beberapa pemain sedang mengalami kecederaan. Namun, dia percaya barisan pemain yang dipilih oleh jurulatih nanti tetap dapat memberi saingan 100 peratus menentang Selangor FC.

Kuching City FC yang membawa satu kelebihan jaringan akan bertemu dengan Selangor FC di perlawanan penentuan ke separuh akhir Piala FA 2024-25 yang dijadualkan berlangsung di Stadium MBPJ pada 6 Julai depan.