PEMAIN pertahanan Kuching City FC, Filemon Anyie Standly akui berada dalam motivasi terbaik menjelang pertemuan suku akhir Piala FA apabila skuad kendalian Aidil Sharin Sahak akan menerima kunjungan pasukan Selangor FC di Stadium Negeri pada Sabtu.
Kuching City yang kini giat membuat persiapan rapi jelas sekali mempunyai misi tersendiri dalam perlawanan ini untuk memastikan bekalan gol yang selesa dapat dibawa untuk pertemuan suku akhir kedua nanti.
Jelas Filemon, pasukan Kuching City akan membuat sedikit perubahan pemain untuk memastikan skuad The Cats mampu memberi tentangan yang sengit kepada pasukan Selangor nanti.
Pemain berusia 26 tahun ini turut menjelaskan, perlawanan menentang Selangor sudah tentu tidak akan menjadi satu perlawanan yang mudah untuk Kuching namun, dia dan rakan sepasukannya sangat komited dalam latihan dalam usaha untuk membuat persiapan yang terbaik.
“Semua sedia maklum, pasukan Selangor adalah salah sebuah pasukan yang bagus pada ketika ini” jelasnya.
Pemain kelahiran Baram ini turut menjelaskan, dia kini berada dalam keadaan terbaik memandangkan gol kemenangan yang disumbangkan sewaktu menentang Kuala Lumput City FC pada pusingan pertama yang lalu meningkatkan motivasi dan keyakinannya untuk terus beraksi cemerlang di atas padang.
Ujarnya lagi, walaupun beraksi selaku pemain pertahanan, dia akan cuba yang terbaik dan mempunyai misi untuk menjaringkan gol dalam pertemuan menentang skuad ‘Red Giants’ nanti.
“Jaringan saya yang lalu membuatkan rakan sepasukan saya bersemangat untuk memperoleh kemenangan dan saya mahu menjaringkan gol lagi pada pertemuan dengan Selangor nanti,” tambah Filemon.
Filemon juga turut berkongsi bahawa terdapat beberapa pemain Kuching yang mengalami kecederaan namun dijangka pulih sepenuhnya menjelang pertemuan penting itu nanti.
Dia juga menyeru agar peminat setia pasukan itu untuk datang memberikan sokongan beramai-ramai di Stadium Negeri sekali gus dapat meningkatkan lagi moral dan semangat para pemain.
Kuching City akan melayan kunjungan The Red Giants pada Sabtu ini sebelum bertandang ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 6 Julai untuk aksi timbal balik suku akhir kedua Piala FA.