TUAH nyata memihak kepada pasukan Kuching City FC apabila jaringan pada minit terakhir masa tambahan memastikan mereka menang ke atas Kuala Lumpur City FC 2-3 dalam aksi dramatik Pusingan 16 Piala FA.

Dalam aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur itu, Kuching City berjaya mengambil kesempatan atas kelekaan barisan pertahanan KL City untuk mencipta kejutan dihadapan kira-kira 300 orang penonton.

Kuala Lumpur City yang juga finalis musim lalu seharusnya menyalahkan diri sendiri apabila gagal mempertahankan kelebihan yang diperolehi pada babak pertama apabila mendahului 2-1 menerusi jaringan Haqimi Azim dan Paulo Josue.

Bagaimanapun Kuching City tidak putus asa dan berjaya menjaringkan gol penyamaan menerusi Syahmie Iszuan selepas Filemon Anyie memberikan gol pertama pada pertengahan separuh masa.

Video Bantuan Pengadil (VAR) kembali menjadi tumpuan apabila pengadil membatalkan jaringan minit akhir Giancarlo Gallifuoco yang sepatutnya menjadi gol kemenangan KL City selepas pemain Australia itu dikesan melakukan kekasaran terlebih dahulu.

Pengadil sekali lagi menjadi tumpuan pada masa tambahan apabila membatalkan pula sepakan penalti yang pada awalnya diberikan kepada KL City selepas VAR mendapati tidak ada kekasaran berlaku dalam kotak penalti Kuching City.

Ketika perlawanan dijangka ditentukan menerusi sepakan penalti, Zahrul Nizwan muncul wira Kuching City dengan jaringan pada minit-minit akhir masa tambahan selepas menerima hantaran baik dari Syahmie Iszuan bermula dari satu serangan balas pantas.

Kemenangan ini melayakkan Kuching City ke peringkat suku akhir dan bakal bertemu pemenang antara Selangor FC atau Negeri Sembilan FC yang hanya akan bermain pada Sabtu.