KUALA Lumpur Rovers tetap akan menghantar pasukan untuk aksi Pusingan 16 Piala FA menentang Sabah FC selepas usaha untuk meminta penangguhan perlawanan tidak mendapat persetujuan daripada pihak tuan rumah.

Pasukan Liga A1 Semi-Pro itu pada awalnya memohon kepada Sabah FC untuk menangguhkan perlawanan itu kerana harga tiket penerbangan yang melambung ekoran sambutan Hari Raya Aidiladha pada 17 Jun ini.

Menurut sumber kelab, selain tiket pesawat yang mahal, usaha penangguhan itu juga dibuat selepas mengambil kira jadual Liga Super yang menyaksikan Sabah FC tidak akan beraksi pada minggu keempat perlawanan namun KL Rovers akur dan tetap akan menghantar pasukan ke Kota Kinabalu.

“Harga tiket penerbangan sangat mahal ekoran perayaan Aidiladha dan kami meminta untuk perlawanan ditunda ke tarikh yang lain tetapi akhirnya kami akur dan tetap akan terbang dengan 18 pemain serta pegawai pasukan.

“Selain kos logistik, pihak kami juga telah meneliti jadual yang melibatkan Sabah dan ianya memungkinkan penangguhan bagi memastikan kos kami berjaya dikurangkan sedikit.

“Atas sebab itu, dua pemain terpaksa disisihkan akibat kecederaan dan mereka akan menjalani rehabilitasi di Kuala Lumpur dan demi semangat kesukanan serta peluang beraksi di Piala FA, kami setuju dengan kehendak pasukan tuan rumah,” katanya kepada FLASH SUKAN.

KL Rovers mahu teruskan momentum kecemerlangan dalam Piala FA (kredit foto: KL Rovers)

Barisan kendalian Wan Mustafa kini berada dalam prestasi terbaik selepas memenangi dua perlawanan awal Liga A1 Semi-Pro MBSB Bank Championship dan kini menduduki tangga ketiga liga dengan enam mata tetapi dipisahkan perbezaan jaringan dengan Bunga Raya Damansara dan Imigresen FC.