PASUKAN Malaysian University FT sudah bersedia untuk bertemu dengan mana-mana skuad yang diturunkan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi suku akhir pertama Piala FA 2024-25 di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu.
Pengendali MUFT, Ridzuan Abu Shah menegaskan ini adalah peluang terbaik pelajar-pelajar universiti ini untuk belajar sesuatu mengenai perlawanan bola sepak di tahap yang lebih tinggi apabila mereka berdepan barisan bintang JDT.
Ridzuan juga gembira apabila pengendali Harimau Selatan, Hector Bidoglio tetap berhati-hati dalam persediaan pasukan meskipun sedar terdapat jurang yang begitu besar antara kelab Liga Super dan Liga A1 Semi-Pro itu.
“Kami tidak kisah barisan mana yang diturunkan JDT sama ada barisan utama atau kedua kerana kami hadir untuk bermain dengan mereka di tahap yang lebih tinggi dan dipandang tinggi oleh jurulatih JDT adalah satu perkara yang bagus buat kami.
“Sejak mendapat tahu kami akan bertemu JDT, semangat pemain sudah berada di Stadium Sultan Ibrahim sejak dari awal kerana ini peluang buat kami untuk bermain di stadium yang baik buat pasukan kami,” katanya
Malaysian University yang baru sahaja meraih kemenangan sulung di Liga A1 Semi-Pro MBSB Bank Championship turut beranggapan bahawa perlawanan ini boleh menjadi medan ujibakat buat pemainnya yang masih muda dan berpotensi melangkah ke liga profesional.
“Kami gembira kerana dapat bersaing dengan pemain utama JDT dan pemain-pemain pelajar universiti ini boleh banyak belajar dan ianya boleh dianggap medan ujibakat buat pemain kerana ada dua hingga tiga pemain yang sudah bersedia beraksi di liga pro,” jelasnya.
Malaysian University layak ke suku akhir selepas mengejutkan PDRM FC 3-0 di Pusingan 16 dan kini akan berhadapan juara bertahan Piala FA dalam dua perlawanan yang dijangka akan memihak kepada Harimau Selatan.