KETUA jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil tidak berasa terlalu bimbang biarpun pasukannya tewas mengejut kepada Kuching City dalam saingan suku akhir pertama Piala FA pada Sabtu.
Menurut Nidzam, dia tetap optimis bahawa pasukannya mampu bangkit dari kekecewaan menjelang aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium MBPJ minggu hadapan.
Nidzam juga menambah bahawa kekalahan ini adalah sebagai satu ‘wake up call’ untuk pasukannya dari dibuai keselesaan dan melihat ini sebagai satu petanda yang positif.
”Ini adalah panggilan untuk mengejutkan kita. Sudah tentulah kalah 2-1 di tempat lawan tetapi saya rasa kita ada peluang untuk tebus balik minggu hadapan. Kita perlu positif tentang hal ini.
“Sudah tentulah di separuh masa pertama dan kedua ada kesilapan yang menyebabkan gol. Akan tetapi inilah bola sepak, kita perlu jangkakan perkara-perkara macam ini juga. Kita akan kenalpasti dan kembali lebih baik.
“Kita akan fokus kepada pasukan kita dan kita mempunyai lima hingga enam hari dan kita tidak sabar untuk bermain di Stadium MBPJ nanti kerana saya rasa kita masih ada peluang, jadi tak perlu kita merubah banyak perkara,” katanya selepas perlawanan.
Dalam perlawanan semalam, pemain import Selangor FC, Ronnie Fernandez meletakkan The Red Giants di hadapan pada minit ke-31 sebelum Kuching City menyamakan kedudukan hasil percubaan jarak dekat James Okwuosa pada masa kecederaan.
Gol kemenangan The Cats dijaringkan oleh Jordan Mintah pada minit ke-65 setelah bijak mengambil peluang hasil kesilapan komunikasi di antara Sharul Nazeem dan penjaga gol Selangor, Sam Sommerville.
Aksi suku akhir kedua Piala FA 2024/25 diantara pasukan Selangor dan Kuching City bakal berlangsung pada 6 Julai di Stadium MBPJ.