KETUA jurulatih Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli berharap dapat menurunkan penyerang Rodrigo Dias pada aksi cukup getir suku akhir kedua Piala FA menentang Kedah Darul Aman FC di Stadium Darul Aman pada Jumaat ini.
Selepas tewas 1-0 pada pertemuan pertama di Stadium Bandaraya pada minggu lalu, Penang FC perlu memperkemaskan semula jentera serangan yang dilihat menjadi punca kepada kekalahan itu.
“Saya yakin dan berharap Rodrigo Dias akan kembali bersama pasukan untuk memperkuatkan jentera serangan.
“Main di Stadium Darul Aman bukan mudah, apa pun pemain perlu berjuang kerana ada lagi 90 minit permainan untuk kita dapatkan 1-2 jaringan. Saya yakin dengan kualiti pemain yang kita ada, kita boleh bersaing dan mencipta sesuatu,” kata Akmal.
Dias, pemain import dari Brazil kini sudah menjalani latihan bersama pasukan selepas terlepas beberapa perlawanan bersama Penang musim ini akibat kecederaan yang memaksa Akmal untuk menggunakan penyerang tunggal Nabil Latpi.
Dan Akmal mengharapkan agar pihak pengurusan dapat membantunya mendapatkan pemain import baharu pada jendela perpindahan kedua pada Ogos depan bagi menguatkan bahagian serangan.
“Saya harap pihak pengurusan dapat melihat apa yang berlaku sekarang, kami cuma ada Rodrigo di bahagian serangan dan dia tak dapat beraksi akibat kecederaan.
“Tak ada pemain import lain yang dapat bantu di bahagian serangan jadi saya harap pada jendela perpindahan kedua, saya akan dapatkan seorang lagi pemain import, saya harap pihak pengurusan akan dapat bantu kerana ini adalah kelemahan dan kekurangan yang ada,” katanya.