SABAH FC terpaksa melakukan sedikit rombakan pada skuad untuk menentang Kuala Lumpur Rovers dalam aksi Pusingan 16, Piala FA 2024-25 di Stadium Likas apabila kehilangan dua tonggak utama akibat kecederaan.
Ketua Jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee menjelaskan Gabriel Peres dan Darren Lok masing-masing masih belum cergas dan pihaknya akan melihat tahap kecergasan mereka hari ini sebelum membuat keputusan untuk memberikan peluang kepada pemain-pemain lain mengisi kekosongan ditinggalkan.
Bagaimanapun Kim Swee menganggap ketiadaan mereka ini sudah tentu akan memberi peluang kepada pemain-pemain lain untuk menunjukkan keupayaan serta prestasi sekali gus memastikan Sabah FC mara ke peringkat seterusnya.
“Kita mahu semua pemain bersedia untuk diturunkan pada bila-bila masa, di samping dapat menunjukkan kualiti dan mutu permainan membanggakan bagi memastikan prestasi semasa mereka dapat dipertingkatkan ketika perlawanan sedang berlangsung.
“Jika gagal menunjukkan prestasi yang baik, kemungkinan besar mereka akan ketinggalan dengan pemain-pemain lain, berikutan terdapat beberapa kekosongan posisi ditinggalkan pemain utama.
“Saya juga akan meneliti beberapa posisi yang lain untuk diisi segera sekiranya kecederaan beberapa pemain utama masih berpanjangan bagi meneruskan perjuangan dalam saingan Liga Super,” katanya.
Kim Swee juga berkata dia mahu para pemain memberikan fokus sepenuhnya kepada aksi Piala FA ini terutama dengan kelebihan beraksi di laman sendiri selepas kembali dari saingan RCTI Premium Sports di Indonesia.
“Kita memberikan tumpuan lebih kepada perlawanan Piala FA kerana ia adalah satu pertandingan cukup penting bagi Sabah FC sekali gus berharap harap kita mampu memperoleh keputusan positif.
“Sabah FC akan meneruskan momentum untuk memberikan peluang kepada para pemain yang beraksi di Jakarta tempoh hari untuk diturunkan namun bergantung kepada situasi perlawanan,” jelas Kim Swee.
Pemenang antara Sabah dan Kuala Lumpur Rovers bakal bertemu sama ada Terengganu FC atau Perak FC dengan aksi di peringkat suku akhir bakal dilangsungkan secara timbal balik.