PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berpesan kepada para pemainnya supaya tidak mengambil mudah cabaran Terengganu yang disifatkan mempunyai banyak pemain berkualiti dan juga mempunyai rekod yang baik di laman sendiri.
Meskipun sedar bahawa perlawanan pertama ini tidak menentukan siapa yang layak ke peringkat seterusnya, namun ia sangat penting bagi pasukan Sabah FC mendapat keputusan yang positif.
Sabah FC dijangka mendapat cabaran getir daripada Terengganu FC dalam aksi suku akhir pertama Piala FA 2024-25 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Sabtu.
“Kita tidak boleh mengambil mudah kerana kita tahu pasukan Terengganu FC mempunyai rekod yang cukup baik, terutamanya beraksi di tempat sendiri dan pasukan mereka juga bertambah baik dengan kemasukan beberapa pemain seperti Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Akram Mahinan.
“Mereka ini adalah pemain yang cukup berpengalaman dan kita harus waspada dengan semua pemain yang diturunkan oleh pasukan Terengganu yang rata-ratanya telah bermain bersama-sama agak lama.
“Apa juga keputusan dalam pusingan pertama itu sangat penting kerana kita harus kembali dengan satu keputusan yang cukup positif dan bersedia untuk aksi pusingan kedua dengan semangat positif,” katanya.
Dalam masa yang sama juga, Kim Swee masih belum memutuskan kesebelasan utama yang bakal beraksi menentang Terengganu FC, disebabkan kecederaan beberapa pemain.
“Beberapa pemain mengalami kecederaan seperti Telmo Castanheira dan Gabriel Peres. Kita perlu melihat perkara ini sehingga Khamis dan kita masih belum memutuskan siapa pemain yang bakal beraksi nanti,” ujarnya.