TERENGGANU FC tetap menaruh kepercayaan dengan keupayaan pemain yang ada untuk berdepan Sabah FC dalam aksi suku akhir pertama Piala FA meskipun tempang tanpa beberapa tonggak utama susulan positif Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas mengesahkan pihak pengurusan pada mulanya ada memohon kepada Malaysian Football League (MFL) untuk menangguhkan perlawanan tersebut selepas melihat keadaan beberapa pemain utama mereka yang dijangkiti Covid-19.

Namun, selepas perbincangan bersama Sabah FC dan melihat kepada faktor kerugian yang bakal dihadapi pihak lawan, Terengganu FC membatalkan hasrat berkenaan dan ingin meneruskan aksi yang berlangsung esok di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Bahkan, beliau percaya kepada perancangan ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner untuk menggunakan khidmat pemain-pemain simpanan lain serta positif keupayaan mereka untuk memberikan yang terbaik di atas padang menentang Sabah nanti.

Beberapa tonggak utama Sang Penyu positif Covid-19.

“Betul, kita ada memohon dan menghantar surat kepada pihak MFL untuk menangguhkan perlawanan terbabit tetapi apabila kita sendiri dah berbincang dengan Sabah FC, kita teruskan sahajalah aksi esok.

“Ini kerana mereka pun dah beli semua tiket penerbangan untuk datang ke Terengganu dan hotel semua pun dah tempah, jadi kita pun tidak mahu mereka rugi dan sebagainyalah.

“Dan kita tiada masalah untuk teruskan juga perlawanan esok walaupun sebenarnya skuad agak tempang tanpa beberapa tonggak, tetapi ada juga yang dah habis kuarantin.

“Kita tengok nanti pemain-pemain lain yang ada, Insya Allah mereka juga boleh memberi saingan,” jelasnya.

Menurut Sabri, lebih kurang lapan pemain mereka disahkan positif Covid 19 selepas pulang daripada aksi Liga Super menentang Kuching City FC tempoh hari.