DUA pasukan gergasi Liga Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC diramal bakal berentap sesama sendiri dalam final Piala FA 2024 selepas sesi undian dilakukan yang dilihat memihak kepada kedua-dua pasukan.
Dalam sesi undian yang disempurnakan oleh bekas pemenang Piala FA, Zaquan Adha Abdul Radzak dan S.Subramaniam yang disiarkan secara langsung oleh penyiar rasmi, JDT dan Selangor boleh menarik nafas lega meskipun diundi bertemu pasukan dari Liga Super.
Harimau Selatan diundi bertemu pasukan yang dijenamakan semula, Kelantan Darul Naim FC di Stadium Sultan Ibrahim manakala Gergasi Merah pula akan bertemu Negeri Sembilan FC di Stadium MBPJ sekaligus mengulangi perlawanan musim lalu.
Kedua-dua pasukan dijangka akan meneruskan saingan ke peringkat suku akhir dimana lawan yang menunggu JDT adalah pemenang di antara PDRM FC dan Malaysian University FT yang bertemu di Selayang dengan Selangor menanti pemenang antara Kuala Lumpur City FC dan Kuching City FC yang berlangsung di Cheras.
Sabah FC pula mendapat laluan mudah apabila diundi bertemu naib juara Liga MBSB Bank Championship 2023, KL Rovers di Stadium Likas tetapi tugas berat menanti sekiranya layak ke suku akhir untuk bertemu sama ada Terengganu FC atau Perak FC yang bertemu di Kuala Terengganu.
Dalam dua lagi aksi Pusingan 16, Kedah Darul Aman FC dilihat beruntung apabila diundi bertemu Bukit Tambun FC di Alor Star manakala Sri Pahang FC bertemu Penang FC di Temerloh untuk menentukan laluan ke suku akhir.
Kesemua perlawanan Pusingan 16 akan belangsung pada 13 hingga 15 Jun 2024 selepas berakhir tempoh kalendar antarabangsa Fifa dan pasukan masing-masing sudah boleh mencorak barisan terbaik untuk menghadapi kempen Piala FA kali ini.
Perlawanan akhir akan berlangsung pada Ogos 2024 dengan Johor Darul Ta’zim adalah pemenang dua edisi sebelum ini dan dilihat akan kembali untuk mempertahankan kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut.