NEGERI Sembilan FC (NSFC) perlu mempertajamkan penyudah apabila berdepan Selangor FC pada pertembungan suku akhir Piala FA di Paroi malam esok jika ingin terus mara dalam saingan itu.
The Jangs menjadi antara lapan pasukan ke suku akhir, namun ada kebimbangan terbesar dihadapi K. Devan selepas pasukannya gagal memanfaatkan banyak peluang bagi menghasilkan jaringan sejak beberapa perlawanan lepas.
Skuad Gergasi Merah pula menempah tiket ke suku akhir dengan bergaya apabila menewaskan Sri Pahang 4-0 di Pusingan 16.
Kelibat Faisal Halim dan Ayron del Valle sering menghadirkan masalah buat pertahanan lawan dan tugas berat buat pemain tuan rumah mengekang pergerakan mereka daripada dibiarkan mendominasi segenap inci padang.
Perlawanan serentak melibatkan Terengganu FC bertemu Kelantan FC turut diadakan pada sebelah petang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Pasukan manakah yang akan layak ke peringkat seterusnya ? #PialaFA2023 pic.twitter.com/e38PVR3Ri8
— Flash Sukan (@FlashSukan) May 26, 2023
Sementara itu, juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dijadual berdepan Penang FC manakala Sabah FC bertemu Kuala Lumpur (KL) City FC dalam aksi suku akhir yang akan berlangsung pada Ahad.
Berikut lima fakta perlawanan yang merangkumi rekod semasa pasukan serta statistik pertembungan bagi kedua-dua pasukan antara Selangor dan Negeri Sembilan.
#1 Rekod Kejuaraan Piala FA
Selangor muncul juara Piala FA sebanyak lima kali iaitu pada tahun 1991, 1997, 2001, 2005 dan 2009 manakala Negeri Sembilan memperoleh kejayaan Piala FA pada tahun 2003 dan 2010.
#2 Pertemuan Kali Terakhir di Piala FA
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu dalam saingan Piala FA adalah ketika perlawanan pusingan kedua 14 Februari 2017 yang menyaksikan skuad Negeri Sembilan di bawah kendalian Asri Ninggal menundukkan Selangor dengan keputusan penentuan sepakan penalti 3-4.
#3 Rekod Semasa Selangor
Dalam saingan Liga Super, Gergasi Merah berada di tangga kedua dengan meraih 28 mata hasil sembilan kemenangan. Lain-lain keputusan, Selangor mencatat seri sekali dan tewas dua kali. Aksi terbaru, menewaskan Kedah Darul Aman FC, 3-2 di Petaling Jaya
#4 Rekod Semasa Negeri Sembilan
Dalam saingan Liga Super, kedudukan Negeri Sembilan tidak begitu memuaskan apabila kalah tiga kali dan bolos sebanyak 22 gol serta menghuni tangga kelapan Liga Super. Cumanya, aksi dramatik ketika bangkit mengikat Kelantan United 3-3 tempoh hari menjadi tonik terbaik K Devan menghadapi cabaran Selangor di halaman sendiri.
📹 HIGHLIGHTS: @selangorfc 2-1 @nsfc1923
Herold Goulon meletakkan Negeri Sembilan di hadapan namun Selangor bangkit untuk tiga mata penuh menerusi jaringan Faisal Abdul Halim dan Sharul Nazeem.
👉 https://t.co/xNvDe2WY7K#LigaSuper2023 #DemiLigaKita pic.twitter.com/DuyNZ50g1F
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 4, 2023
#5 Pertemuan Terakhir Kedua-dua Pasukan
Dalam perlawanan Liga Super yang berlangsung di Petaling Jaya pada 4 April, NSFC mendahului menerusi gol penalti Herold Goulon pada babak pertama sebelum Faisal Halim dan jaringan saat akhir Sharul Nazeem Zulpakar hadir memberikan kemenangan bergaya Gergasi Merah dengan keputusan 2-1