KETIKA Johor Darul Ta’zim (JDT) seakan selesa memimpin carta Liga Super dengan rekod enam kemenangan berturut-turut, pasukan juara bertahan itu dikejutkan dengan keputusan seri 1-1 menentang PDRM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Rabu lalu.

Ia pasti memberikan mesej awal betapa JDT perlu berwaspada apatah lagi ketika skuad kendalian Hector Bidoglio itu bakal berdepan Kedah Darul Aman FC dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Ahad ini.

Meskipun JDT dilihat memiliki kelebihan dengan bekalan satu gol hasil kemenangan 2-1 di Stadium Darul Aman pada 19 Julai lalu, namun dengan apa yang berlaku di Selayang tempoh hari menuntut skuad Harimau Selatan itu untuk bangkit memperkemaskan permainan.

Perkara itu diakui sendiri pemain import JDT, Oscar Arribas yang percaya mereka perlu membuat persiapan rapi menjelang pertemuan itu.

“Kami masih ada beberapa hari lagi sebelum perlawanan separuh akhir, kami akan membuat persiapan dalam masa tiga hari ini dan akan melakukan yang terbaik,” katanya.

Arribas dilihat antara pemain yang menyerlah musim ini apabila sentiasa hadir di saat kritikal buat JDT di mana dia menyumbang satu gol dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala FA dan menjaringkan gol untuk mengikat kedudukan menentang PDRM di Selayang.

Oscar Arribas menjaringkan gol penyamaan selepas dibawa masuk pada babak pertama

“Saya gembira dapat menjaringkan gol untuk membantu pasukan cuma masalahnya kami tidak mendapat keputusan yang kami mahukan. Tapi tidak mengapa, kerana ini adalah bola sepak, kami akan memperbaiki kelemahan ini.

“Mereka (PDRM) bermain dengan corak bertahan dan menyukarkan untuk kami menyerang tapi akan cuba bermain lebih baik pada perlawanan seterusnya,” katanya.

Fokus JDT kini akan tertumpu akan kepada perlawanan separuh akhir kedua menentang Kedah Darul Aman FC yang akan berlangsung Ahad ini di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.