TERENGGANU FC (TFC) melangkah ke suku akhir Piala FA hasil kemenangan tipis 1-0 ke atas Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam aksi pusingan kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Rabu malam.
Skuad kendalian Nafuzi Zain itu hanya memerlukan 30 saat untuk menguji kubu pelawat menerusi Kpah Sherman yang mensia-siakan situasi satu lawan satu berdepan Ifwat Akmal Chek Kassim.
Gol dicari-cari TFC menjelma pada minit keenam setelah pemain sayap, Mohd Faiz Nasir menanduk kemas hantaran lintang Faisal Abdul Halim dari sebelah kanan.
KDA FC hanya memiliki peluang terbaik tiga minit sebelum rehat namun sepakan lemah Fayadh Zulkifli Amin dari dalam kotak penalti tepat ke dakapan Mohd Suhaimi Husin.
Lima minit bersambung babak kedua, TFC kekurangan pemain selepas Pape Diakite diarah keluar padang gara-gara halangannya ke atas Ronald Ngah Wanja yang dalam situasi menjaringkan gol.
Insiden itu mengubah skrip perlawanan dengan KDA mula meningkatkan tekanan menerusi sepakan bebas Mahmoud Almardi (m-53) yang ditepis penjaga gol tuan rumah.
Pemain tengah KDA, Dechi Marcel hampir mengheret aksi ke masa tambahan namun percubaannya pada minit ke-87 sekadar menerjah jaring tepi dan kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat.