PENANG FC terpaksa berhempas pulas untuk melayakkan diri ke suku akhir Piala FA selepas menewaskan Sri Pahang FC menerusi sepakan penalti 4-3.
Masa permainan 90 minit menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 sebelum meneruskan permainan dalam masa tambahan, dengan kedua-duanya gagal untuk menjaringkan gol.
Sri Pahang yang dilanda kemelut di luar padang turun dengan beberapa pemain terbaik seperti Kpah Sherman, Manuel Hidalgo dan Azam Azih.
Manakala pasukan Harimau Kumbang pula masih dengan misi mencari kemenangan pertama dalam saingan domestik musim ini selepas mencatat tiga seri. Akmal Rizal juga menurunkan barisan terbaiknya untuk mencabar pasukan Tok Gajah di Temerloh.
Penang FC mempunyai peluang untuk membuka akaun jaringan menerusi Nabil Ahmad Latpi namun dia berada di kedudukan offside sekaligus golnya dibatalkan.
Bagaimanapun Nabil berjaya mendapat gol yang diinginkan apabila pada minit ke-41 dia membuka jaringan pertama pasukan selepas menerima hantaran bola daripada Amer Azahar.
Sri Pahang yang lebih banyak menguasai permainan pada separuh masa pertama namun gagal untuk mencipta percubaan bahaya, memperkemaskan permainan mereka pada separuh masa kedua.
Skuad kendalian Fandi Ahmad itu melakukan beberapa serangan bahaya dalam misi mencari gol penyamaan namun asakan mereka berjaya dikekang oleh barisan pertahanan Penang FC.
Gol penyamaan Sri Pahang akhirnya muncul pada minit ke-80 apabila Mykola Agapov menjaringkan gol selepas menerima hantaran bola daripada Manuel Hidalgo.
Sikh Izhan menjadi hero buat Penang FC apabila berjaya menyelamatkan dua sepakan penalti skuad Tok Gajah, diambil oleh Mykalo dan Fadhli Shas sebelum Nabil Ahmad Latpi berjaya menyempurnakan sepakan penalti, sekaligus menghantar Penang FC ke suku akhir Piala FA.
Penang FC akan bertemu seteru utara mereka, Kedah Darul Aman FC bagi aksi suku akhir Piala FA nanti.