TONGGAK pemain Terengganu FC, Safawi Rasid menyifatkan jaringan yang disempurnakan sewaktu mengambil sepakan percuma pada perlawanan separuh akhir pertama Piala FA 2024 adalah satu gol terbaik yang pernah dilakukan.
Rembatan yang cantik itu terhasil pada minit ke-30 perlawanan sekali gus mengembalikan aura positif buat skuad Sang Penyu untuk terus memburu jaringan demi jaringan di hadapan khalayak penyokong Terengganu FC.
Namun begitu, pemain kelahiran Dungun itu juga tidak menafikan bahawa sepakan percuma yang diambil itu adalah dari sudut yang sukar, lantas bersyukur kerana tetap berhasil memecahkan tembok pertahanan dan terus ke gawang gol Selangor FC.
“Mengenai gol itu, saya rasa itu mungkin jaringan terbaik kerana dari sudut yang susah jadi Alhamdulillah saya dapat juga lakukan sepakan tersebut.
“Saya juga tidak nafikan gol itu membakar semangat pasukan kerana sebelum itu permainan kita agak perlahan, selepas jaringan itu, kita bangkit dominasi bola, dapat banyak peluang dan Alhamdulillah akhirnya semua gembira dengan keputusan.
“Terima kasih kepada penyokong Terengganu yang datang menyokong kami, cecah 31 ribu penyokong dan kita sangat bangga. Kita harap perlawanan ‘away‘ nanti mereka akan sama-sama turun ke stadium,” ujarnya ketika ditemui pada Jumaat.
Membawa bekalan satu jaringan ke Stadium MBPJ pada 3 Ogos nanti, Safawi tetap menegaskan bahawa dirinya tidak berada dalam keadaan yang cukup selesa dan harus mencari peluang di gelanggang lawan untuk layak ke final Piala FA.
“Bagi kami, walaupun keputusan 3-2, 2-0 pun, perlawanan di Stadium MBPJ nanti kita akan bermain cara yang sama seperti ini juga. Tidak kisah kita dahului 1-0 atau 2-0, mentaliti kita tetap seperti 0-0.
“Saya juga akan bermain seperti biasa macam sekarang, benda itu (gol) akan datang sendiri dan kita tidak perlu terburu-buru. Kita akan ikut sahaja segala percaturan yang ditetapkan,” tambah Safawi.