LALUAN sukar menanti Sarawak United FC (SUFC) selepas diundi bertemu pasukan gergasi, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan pusingan kedua Piala FA 2022 pada Mei depan.
Ketua jurulatih, B Sathianathan tanpa segan silu menyifatkan anak buahnya menghadapi perlawanan getir kerana perlu beraksi di Stadium Sultan Ismail (SSI) halaman milik JDT nanti.
“Ibarat macam nak pergi berperang pertemuan ini. Kami hanya ada peluru biasa, tetapi JDT membawa set penuh kelengkapan alat tempur mesingan. Nak kata apa lagi. Tapi, kami tetap hadir ke sana dan akan pamer semangat melawan serta tidak menyerah 90 minit permainan.
“Kita tahu payah nak menang di SSI dengan kekuatan skuad yang kami ada pada musim ini. Kita datang buat yang terbaik sajalah nanti,” ujarnya kepada Flash Sukan pada Khamis.
Kedua-dua kelab sudah bertembung dalam Liga Super sebelum ini yang mana Sathianathan dan pemain tewas 6-0 di Iskandar Puteri.