EMPAT perlawanan Pusingan Kedua Piala FA berlangsung Sabtu malam menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT), Sri Pahang, Melaka United dan Penang FC berjaya memenangi perlawanan masing-masing sekaligus layak ke peringkat suku akhir.

Dalam perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, JDT mudah membenam cabaran Sarawak United 3-0 dalam dengan semua gol dijaringkan pada separuh masa pertama oleh Nazmi Faiz pada minit keenam dan dua jaringan Fernando Forestieri pada minit ke-15 dan 43.

Dalam aksi di Stadium Darul Makmur Kuantan pula, Sri Pahang berjaya menewaskan Skuad Projek FAM-MSN 3-0 menerusi dua jaringan tandukan cantik Mahmoud Za’tara pada minit kelima dan ke-28 dan Shahrul Nizam pada minit akhir permainan.

Aksi Perak FC bertemu Penang FC.

Penang FC juga berjaya layak ke suku akhir apabila membenam Perak FC 4-1 di Stadium Perak menerusi dua jaringan Hilal El Helwe dan satu dari Adib Raop serta satu jaringan sendiri oleh Aiman Yusni.

Turut layak ke peringkat seterusnya adalah Melaka United yang menewaskan PJ City 2-1 di Stadium Hang Jebat dengan jaringan Sony Norde dan Adriano berjaya memadam gol penyamaan Darren Lok.

Kesemua empat pasukan ini mengiringi Sabah yang sudah pun mengesahkan tempat selepas menewaskan Kelantan United dalam masa tambahan semalam.