REPUTASI sahaja tidak cukup, Johor Darul Ta’zim FC (JDT) perlu meningkatkan prestasi dalam menghadapi Kedah pada aksi separuh akhir kedua Piala FA, esok.

Selepas mencapai kemenangan tipis 2-1 di gelanggang lawan, senario dalam Stadium Sultan Ibrahim (SSI) sudah tentu berbeza, namun tidak boleh dipandang mudah.

Hector Bidoglio tegaskan, JDT perlu tingkatkan prestasi untuk memastikan kemenangan di SSI.

Pengendali JDT, Hector Bidoglio berkata, Kedah Darul Aman bukan sebuah pasukan yang mudah untuk ditewaskan di gelanggang mereka, namun yakin SSI menawarkan pengalaman berbeza.

“Kita berdepan perlawanan sukar menentang Kedah tetapi, selepas setiap perlawanan kami perlu meningkatkan prestasi kerana kami mesti menang,” kata Hector, menjelang perlawanan kedua separuh akhir menentang Skuad Kenari di Johor Bahru esok.

Malah beliau yakin, beraksi di hadapan penyokong setiap Harimau Selatan mampu menambah keyakinan pemainnya untuk lebih bernafsu merobek gawang lawan.

Pada perlawanan pertama di Stadium Darul Aman, Oskar Arribas dan Romel Morales muncul wira menjaringkan dua gol buat JDT, manakala jaringan Sang Kenari disumbang Habib Haroon.

Beliau turut menjadikan perlawanan menentang PDRM sebagai pengajaran, apabila corak yang diamalkan JDT gagal berjalan lancar selepas Sang Saka Biru bermain dengan kompak.

Namun pada perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang itu, Bidoglio telah mebuktikan bahawa beliau cukup berani melakukan dua pertukaran awal selepas melihat perancangan awal mereka tidak menjadi, dan tidak teragak-agak mengeluarkan Corbin Ong dan Shahrul Saad serentak.