HANYA berkonsepkan corak permainan bertahan adalah bukan pilihan terbaik buat Kuching City FC apabila bertandang ke gelanggang Selangor FC bagi aksi suku akhir kedua Piala FA, pada Sabtu ini.
Berbekalkan kemenangan tipis 2-1 pada pertemuan pertama di Stadium Negeri minggu lalu, penyerang Kuching City Jordan Mintah percaya mereka perlu berjuang habis-habisan untuk mempertahankan kelebihan itu di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.
“Anda boleh lihat kesungguhan kami (pada perlawanan pertama) jadi kami tidak hanya bertahan sahaja nanti. Kami akan mengikut apa arahan taktikal yang diberikan oleh jurulatih (Aidil Sharin Sahak) kepada kami nanti,” katanya.
Pada aksi suku akhir pertama, Selangor mendahului Kuching City dengan jaringan Ronnie Fernandez di minit ke-31 namun James Okwuosa menyamakan kedudukan sebelum tamat separuh masa pertama.
Mintah melengkapkan kebangkitan pasukan tuan rumah menerusi gol pada minit ke-64 bagi memastikan Kuching City merekod kemenangan pertama di laman sendiri musim ini.
Jelas pemain import Ghana itu, kebangkitan yang dipamerkan oleh skuad kendalian Aidil Sharin Sahak pada aksi suku akhir pertama tempoh hari jelas menyuntik keyakinan dalam diri pemain untuk memburu slot ke separuh akhir biarpun sedar Selangor memiliki rekod cemerlang di gelanggang sendiri musim ini.
“Kami gembira dengan kejayaan ini kerana kami mempamerkan kesungguhan dan mentaliti yang kuat. Kami mahu memberi mesej bahawa tidak mudah untuk pasukan luar mendapat mata apabila bermain di sini (Stadium Negeri).
“Kami mempunyai peluang pada perlawanan kedua nanti, apa yang perlu kami lakukan adalah mengikut arahan jurulatih, bermain dengan bersungguh-sungguh serta saling bantu-membantu,” katanya.