JURULATIH Kedah Darul Aman FC, Nafuzi Zain, menyatakan keyakinannya pasukannya akan bangkit dalam perlawanan timbal balik separuh akhir Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) yang bakal berlangsung pada 3 Ogos di Stadium Sultan Ibrahim.
JDT membawa bekalan tipis 2-1, tetapi Nafuzi percaya peluang masih terbuka untuk kedua-dua pasukan.
Menurutnya lagi, pasukannya mesti berjuang dengan yakin dan memberikan segalanya yang ada dalam perlawanan akan datang.
“Kita mesti berjuang dengan yakin dan memberikan segalanya. Mungkin kehilangan pemain agak mencemaskan, tetapi kita kena bawa semangat ini ke perlawanan seterusnya.
“Walaupun tewas dan kecewa, saya rasa kita tak patut kalah sekurang-kurangnya dan boleh raih keputusan seri. Kita kena teliti dan cari semangat balik. Kita kena bawa semangat itu ke perlawanan seterusnya,” ujarnya dalam sidang media selepas perlawanan di Alor Setar pada Jumaat.
Dalam perlawanan malam tadi, Kedah berjaya membolosi gawang JDT dengan satu gol berharga menerusi Habib Haroon, yang menunjukkan kemampuan mereka untuk mencabar pasukan lawan.
Namun, gol kemenangan dari pemain kebangsaan Romel Morales meranapkan impian anak buah Nafuzi untuk mengikat perlawanan berakhir seri.
Perlawanan itu juga menyaksikan Nafuzi melakukan perubahan meletakkan Faiz Nasir dan Hasbullah Abu Bakar yang bermula dalam kesebelasan utama.
“Saya menggunakan Faiz Nasir kerana saya memerlukan pemain yang boleh menyimpan bola,” katanya.
Dia turut mengingatkan semua pemain dan penyokong untuk terus memberikan sokongan dan semangat bagi memastikan kejayaan pasukan di masa hadapan.
Aksi timbal balik separuh akhir Piala FA pada 3 Ogos ini bakal menjadi penentu sama ada Sang Kenari mampu mara ke perlawanan akhir.