PIALA FA adalah kejohanan yang amat penting bagi Sang Kenari untuk kembali beraksi di peringkat timbal balik dan menebus kegagalan merangkul kejuaraan sejak tahun 2019.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Shahrul Samsudin menekankan kepentingan perlawanan Piala FA edisi 2024/25 menentang Bukit Tambun FC di Pusingan 16 yang dijadualkan pada 14 Jun 2024 di Stadium Darul Aman.
“Perlawanan ini amat penting memandangkan dalam beberapa siri kempen sebelum ini, KDA FC tewas seawal pusingan pertama. Oleh itu, kami perlu memastikan aura di Stadium Darul Aman terus bergema dengan kehadiran ribuan penyokong,” kata Shahrul dalam kenyataan media kelab.
Sebagai tanda penghargaan dari pihak pengurusan, KDA FC menawarkan struktur harga tiket yang lebih menarik dengan diskaun 50 peratus daripada harga asal. Tawaran ini hanya sah untuk perlawanan kali ini, dengan harapan dapat menarik lebih ramai penyokong ke Stadium Darul Aman.
“Harga tiket bagi perlawanan Piala FA, Pusingan ke-16 menentang Bukit Tambun FC pada 14 Jun ini adalah dewasa (13 tahun dan ke atas) RM20 Grandstand, RM15 Pavilion, dan RM10 untuk Teres.
Jelas Shahrul, tiket akan dijual dua hari lebih awal di lima lokasi ejen pusat jualan tiket bagi memudahkan penyokong merancang perjalanan ke Stadium Darul Aman, memandangkan sepak mula perlawanan tersebut bermula jam 6.30 petang.
Pemegang pas bermusim juga akan mendapat akses percuma bagi semua zon, sebagai tanda penghargaan atas sokongan padu mereka. Ini termasuk pemegang pas bermusim Platinum, Grandstand, Pavilion, dan Teres.
Untuk rekod, pasukan Kedah pernah lima kali merangkul kejuaraan Piala FA pada musim 1997, 2007, 2008, 2017, dan kali terakhir pada 2019.