KETUA Jurulatih Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak tidak mahu para pemainnya masuk ke perangkap pasukan Imigresen FC apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Jumaat.
KL City adalah antara pasukan Liga Super yang diundi menentang kelab dari Liga M3 namun Bojan tidak pernah menganggap perkara itu sebagai kelebihan buat pasukannya dan mahu komitmen penuh daripada para pemain.
Dia juga menyatakan bahawa majoriti pemain pasukan lawan akan menganggap ini perlawanan terbesar mereka dan ianya pasti mendatangkan kesukaran buat KL City yang mungkin akan turun dengan pemain yang jarang diturunkan.
“Di KL City, tidak ada pasukan kedua kerana semua pemain adalah dalam pasukan pertama dan pemain yang kurang bermain sebelum ini mungkin akan diturunkan supaya mereka dapat buktikan kemampuan dan menarik perhatian barisan kejurulatihan.
‘Ini adalah permainan yang paling bahaya kerana 90 peratus pemain lawan akan menganggap ini permainan terbesar mereka. Inilah yang menarik tentang kejohanan Piala FA kerana sentiasa banyak kejutan dan lebih baik kita gunakan pemain yang jarang diturunkan kerana mereka akan lebih serius dalam perlawanan,” katanya.
KL City kini dalam momentum terbaik selepas memenangi dua perlawanan Liga Super berturut-turut dan tentunya akan menggunakan kesempatan ini untuk merehatkan beberapa pemain utama sebelum menentang Kedah.
Imigresen FC pula layak ke pusingan kedua Piala FA selepas mengenepikan cabaran BRM FC di pusingan pertama dan kini berpeluang mengejutkan juara Piala Malaysia 2021 dan finalis Piala AFC 2022.
Pemenang pertemuan ini bakal bertemu pemenang antara Sabah atau Kelantan United di laman lawan dengan tiket ke kejohanan Piala AFC menjadi rebutan kesemua pasukan yang bertanding.