FOTO : KDA FC
JURULATIH Kedah Darul Aman FC, Nafuzi Zain mengingatkan anak buahnya untuk mengerah segala keringat yang ada andai ingin mencipta sesuatu berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Aman malam ini.
Di atas kertas, tiada siapa dapat menafikan peluang juara bertahan JDT untuk mara sekali lagi ke final apatah lagi dengan momentum mereka musim ini kekal tanpa kalah di semua pertandingan.
Namun itu bukan alasan buat Kedah untuk mengalah awal kerana Nafuzi percaya peluang tetap ada untuk mereka mencari bekalan sebelum bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim bagi aksi separuh akhir kedua.
“Kita tahu bertemu JDT sebagai pilihan, satu pasukan yang baik, yang penting untuk kita mendpat keputusan positif untuk dibawa ke perlawanan kedua dan juga persembahan menarik untuk penyokong-penyokong sendiri.
“Bukan mudah berjumpa JDT, kita kena yakin dan berikan segalanya sebab kita selangkah ke final walaupun begitu sukar tapi kena usaha dan yakin,” katanya.
Keyakinan yang ditanamkan dalam diri pemain-pemain Kedah ada asasnya berdasarkan rekod pertemuan terakhir mereka dimana anak buah Nafuzi berjaya memberikan saingan hebat apabila seri 3-3 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Ogos tahun lalu.
Malah benteng pertahanan Kedah juga dilihat dalam prestasi baik apabila tidak dibolosi dalam lima perlawanan sebelum ini sejak tewas kepada Perak FC 2-0 pada aksi Liga Super 24 Mei lalu.
Bagaimanapun sejauh mana kemampuan pasukannya bakal diuji dengan kehebatan jentera serangan JDT yang dibarisi Bergson da Silva, Romel Morales dan Arif Aiman Hanapi.
“Satu keputusan yang baik bila kita tak bolos, saya harap pertahanan dapat konsisten kerana sebelum ini kita tak bolos tapi masih ada melakukan kesilapan-kesilapan, jadi kita kena elak lakukan kesilapan mudah sebab JDT ada pemain yang boleh buat sesuatu,” katanya.
Tanpa kehadiran tonggak penyerang Syafiq Ahmad yang dipinjamkan dari JDT, Nafuzi mengharapkan pemain lain dapat mengisi kekosongan itu serta menagih kehadiran penyokong tuan rumah bagi meniup api semangat pemain-pemain.
“Harap penyokong-penyokong hadir bagi sokongan untuk kuatkan lagi semangat dan mendoakan kejayaan pasukan di separuh akhir ini,” kata Nafuzi.