PENGENDALI Negeri Sembilan FC, Azzmi Aziz mahu para pemainnya belajar dari kesilapan ketika tewas kepada Selangor dalam aksi Liga Super bulan lalu apabila bertemu lawan yang sama sekali lagi dalam saingan Piala FA pada Sabtu.

Azzmi menegaskan bahawa pasukan kendaliannya mampu menyaingi Selangor cuma kesilapan-kesilapan mudah yang dilakukan pemain mengundang kekalahan besar 0-4 dalam aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu.

Oleh itu, pada kesempatan kali ini, hanya kemenangan menjadi pilihan Negeri Sembilan kerana format kalah mati bakal menyaksikan pasukan yang tewas akan tersingkir dari saingan Piala FA musim ini.

Azzmi mahu pemain kurangkan kesilapan jika mahu catat kemenangan 

“Pemain sedar bahawa ini adalah perlawanan kalah mati dan kita tidak mempunyai pilihan lain selain menang serta berharap aksi yang lebih baik ditunjukkan oleh setiap pemain meskipun berhadapan pasukan yang lebih baik.

“Kami mempunyai skuad yang baik dan kekalahan tempoh hari adalah hasil kesilapan sendiri dan pemain perlu sedar situasi ini dan berikan aksi lebih baik untuk mendapat keputusan yang lebih baik,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Bagaimanapun Azzmi menganggap cuti panjang liga sedikit mengganggu intensiti pasukannya yang sedang berada pada tahap yang baik selepas berhadapan dua gergasi liga, Johor Darul Ta’zim dan Selangor sebelum ini.

Negeri Sembilan perlu pamer kebangkitan untuk mencari kemenangan pertama

“Rehat panjang ini sedikit mengganggu intensiti pasukan selepas kami bertemu JDT dan Selangor namun saya berharap para pemain akan gunakan pengalaman pada dua perlawanan ini dapat membantu mereka mencipta kejutan dalam perlawanan ini,” jelasnya.

Negeri Sembilan mahu mencari kemenangan pertama musim ini namun berhadapan tugas berat apabila diundi bertemu Selangor selain terpaksa bermain pada sebelah petang di laman lawan.