KEJUTAN awal berlaku dalam saingan Piala FA 2024-25 apabila satu daripada tiga wakil Liga A1 Semi-Pro, Malaysian University FT menewaskan kelab Liga Super, PDRM FC 3-0 dalam aksi pusingan 16 sekali gus menempah tiket ke suku akhir.
Dalam aksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada Rabu, skuad kendalian Ridzuan Abu Shah itu melakar kejutan menghantar keluar barisan kedua Sang Saka Biru dan kini mempunyai prospek bertemu sama ada Johor Darul Ta’zim atau Kelantan Darul Naim di peringkat suku akhir.
Dua gol dalam tempoh lapan minit pertama oleh Syahir Abdul Rahman dan Hadi Mohamad mengejutkan barisan kendalian P.Maniam yang tidak menurunkan pemain import mereka sebelum Zharif Nazhan melengkapkan kemenangan bergaya pada tambahan masa babak kedua.
Ridzuan yang ditemui selepas perlawanan gembira kerana berjaya membuktikan bakat daripada universiti-universiti tempatan dapat diketengahkan selain berjaya mengambil kesempatan atas tindakan lawan yang menurunkan barisan kedua.
“Pelan kami pada awalnya adalah untuk berjumpa dengan pemain-pemain import tetapi selepas melihat senarai kesebelasan utama, kami cuba ambil kesempatan atas keputusan lawan menurunkan barisan kedua.
“Kita bukan hendak tunjuk pandai tetapi mahu buktikan ada bakat-bakat yang baik dalam pasukan ini dan kami dapat buktikan dalam perlawanan ini,” katanya.
Melihat peluang bertemu JDT di suku akhir, Ridzuan mengakui ini adalah peluang sekali seumur hidup buat para pemainnya untuk behadapan juara bertahan dan akan menggunakan taktikal berbeza jika kedua-dua pasukan bertemu.
“Kita tahu JDT adalah pasukan terbaik dalam Malaysia ini adalah peluang untuk pemain. Saya dah cakap dengan mereka jika mahu bertemu JDT perlu menang dengan PDRM dan para pemain buktikan di dalam padang.
“Sudah tentu saya perlu mengubah corak taktikal kerana sedar bukan mudah untuk berhadapan mereka di Stadium Sultan Ibrahim tetapi kita akan cuba yang terbaik kerana ini adalah peluang seumur hidup buat para pemain buktikan kemampuan mereka dan membuka peluang dipancing pasukan lain selepas ini,” jelasnya.
Kemenangan ini pastinya akan melonjakkan keyakinan pasukan Malaysian University yang akan memulakan cabaran dalam Liga A1 Semi-Pro MBSB Bank Championship 2024-2025 bertemu pendahului liga, Bunga Raya Damansara FC pada 22 Jun sebelum menanti cabaran suku akhir pertama Piala FA pada 28-30 Jun.