SUKAR untuk meneka pasukan manakah lebih baik pada malam ini menjelang perlawanan tunggal pusingan pertama kempen Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Jumaat.
Ketika pasukan lain sudah boleh fokus untuk perlawanan liga dan mungkin berehat panjang, Terengganu FC (TFC) dan Negeri Sembilan FC (NSFC) akan turun ke gelanggang dam misi memburu slot terakhir ke pusingan kedua.
Perlawanan ini sepatutnya diadakan pada 13 Mac lalu tetapi ditunda susulan penularan COVID-19 dalam kalangan pegawai dan pemain NSFC.
Lawan yang menanti pemenang dalam laluan ini adalah Kedah Darul Aman FC.
Skuad bimbingan Nafuzi Zain dijangka bermain tanpa tekanan kerana mendapat sokongan jitu daripada penyokong setia yang tidak pernah ketinggalan memberikan sokongan sejak dahulu lagi.
Malah aksi kedua di halaman sendiri buat musim ini membangkitkan inspirasi pemain Peteh Ganu Peteh mengejar impian mendapatkan tiket ke pusingan kedua.
Kehadiran semula Kpah Sherman yang digantung pasti menambah pilihan Nafuzi di bahagian hadapan TFC meledak gol gawang NSFC.
Sementara itu, tugas getir menanti anak buah K Devan memandangkan TFC miliki rekod baik di tempat sendiri yang berkemungkinan menyukarkan hajat ke peringkat seterusnya.
Namun begitu, memetik laporan media tempatan Devan akan melakukan sedikit perubahan taktikal dan cuba pamerkan aksi terbaik serta cuba mendapatkan kemenangan.
Lontaran kata Devan ini juga disokong sepenuhnya oleh pemain pertahanannya, Ahmad Khuzaimi yang bertegas mereka tak boleh sesekali ambil enteng dan kena serius untuk aksi dengan TFC.
“Walaupun kita sedang konsisten perlawanan di Liga Super sekarang, tetapi apa sahaja boleh berlaku dalam Piala FA sebab ini adalah pertandingan kalah mati,” ujar Khuzaimi.
Undian pusingan kedua:
Terengganu FC/ Negeri Sembilan FC lwn Kedah Darul Aman FC
Sabah FC lwn Kelantan United
Melaka Utd lwn PJ City FC
Selangor FC lwn KL City FC
JDT lwn Sarawak United
Perlis United lwn Kuching City FC
Perak FC lwn Penang FC
Sri Pahang FC lwn Skuad Projek FAM-MSN