PENJAGA gol Perak FC, Ramadhan Ab Hamid mengakui setiap pemain Terengganu FC memiliki kualiti tersendiri yang boleh memberi ancaman besar kepada mereka dalam aksi pusingan pertama Piala FA musim ini.
Bagi Ramadhan, misi pasukan adalah untuk sekurang-kurangnya layak ke pentas separuh akhir Piala FA selepas mereka hanya bertahan di pusingan kedua pada tahun 2022 dan pusingan pertama pada 2023.
Dengan itu, menjadi tanggungjawab setiap pemain untuk lebih bijak mengawasi pergerakan pemain skuad Penyu bagi memastikan Perak FC mampu untuk mara lebih jauh di pentas Piala FA kali ini apatah lagi selepas mereka tewas dengan lawan sama pada aksi pertama Liga Super tempoh hari.
“Bagi saya, semua pemain Terengganu FC boleh beri masalah kepada Perak FC untuk perlawanan itu nanti, kami tidak boleh waspada terhadap seorang dua pemain sahaja.
“Jadi kami sebagai pemain kena bermain sebagai satu pasukan untuk memastikan kita tidak tersungkur kali ini lebih-lebih lagi ini adalah pusingan kalah mati.
“Sasaran sudah pasti kalau boleh nak sampai ke separuh akhir atau bonus kalau dapat ke final tapi nak sampai ke tahap itu, kita kena lebih bekerja keras.
“Cuma tempoh hari apabila kami menang dengan Kedah Darul Aman FC, tidak dinafikan semangat kami memang tinggi untuk terus beraksi dengan cemerlang selepas ini,” katanya.
Ramadhan Ab Hamid melakukan penampilan sulungnya bersama The Bos Gaurus pada 24 Mei lalu, membantu pasukan Perak mencipta clean sheet pertama musim ini selepas menewaskan Kedah di Alor Setar.
Perak akan bertemu Terengganu FC untuk aksi pusingan pertama Piala FA pada 14 Jun ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.