TONGGAK pertahanan muda Terengganu FC, Safwan Mazlan menyifatkan perlawanan suku akhir kedua Piala FA 2024-25 yang akan berlangsung di Stadium Likas, Sabah sebagai satu perkara biasa, dan tidak memberi sebarang tekanan kepada pasukan.
Namun, pemain berusia 22 tahun ini percaya bahawa pasukan Sabah FC akan melakukan misi kebangkitan setelah dibenam 4-0 oleh Sang Penyu pada aksi suku akhir pertama minggu lalu.
Oleh itu, Safwan menganggap bahawa Terengganu FC perlu mengamalkan konsep untuk sentiasa berwaspada dan perlu lebih berhati-hati ketika bermain sebagai pasukan pelawat, walaupun sudah mempunyai bekalan empat jaringan.
“Bagi saya, mungkin Sabah akan lebih kepada pertahankan pasukan mereka kerana bermain di gelanggang sendiri dan sebagai pasukan pelawat, sudah tentu kami akan lebih berjaga-jaga dan tidak mahu bolos.
“Apa yang kita dah laksanakan di Terengganu minggu lalu itu perkara yang sudah lepas. Jadi, untuk perlawanan akan datang ini kami perlu lebih bersiap sedia dan seperti mulakan yang baharu.
“Kita akan buat terbaik untuk suku akhir kedua ini. Tidak menjadi masalah untuk bermain di tempat mereka tetapi apa yang kami nak, cuma bermain seperti biasa dan mahu menang,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.
Dalam masa yang sama, Safwan turut bersifat merendah diri apabila enggan berasa selesa dengan kelebihan empat jaringan yang sudah pasti memberi tonik semangat buat pasukan untuk ke perlawanan seterusnya.
“Setakat ini, persiapan kami berjalan seperti biasa sahaja. Kita tidak boleh meletakkan harapan terlalu tinggi dan belum boleh selesa dengan apa yang kita ada sekarang,” tambahnya.
Tidak dinafikan secara kasarnya, Terengganu FC boleh menarik lafas lega kerana selangkah sahaja lagi untuk mara ke separuh akhir Piala FA 2024-25 manakala Sabah FC perlu lebih bekerja keras demi mengembalikan maruah skuad The Rhinos di halaman sendiri pada Sabtu ini.