SELANGOR menganggap perlawanan akhir Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) esok, sebagai peluang yang tidak boleh dipersia.

Pengendali Red Giants, Nidzam Jamil berkata, beliau akan memastikan pemainnya bermain dengan baik dan berfikiran terbuka pada final itu nanti.

“Seperti saya selalu katakan dalam temu bual, selagi tidak tamat perlawanan, ia tidak dihabiskan, jadi ia adalah 90 minit perlawanan dan kita ada feelings, kita ada cita-cita dan tidak salah untuk bercita-cita kerana kita sudah berada di final.

“Hanya beberapa langkah sahaja lagi memisahkan kita dengannya (kejuaraan),” kata Nidzam, dalam sidang media Perlawanan Akhir Piala FA JDT-Selangor di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Ketua jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil optimis final Piala FA 2024 menjadi perlawanan epik dua gergasi bola sepak Malaysia.

Perlawanan akhir Piala FA itu bakal menjadi perebutan piala pertama buat Nidzam sebagai ketua jurulatih Selangor dan beliau mengakui, peluang ini tiba sepantas ini.

“Saya baru di posisi ini kira-kira empat bulan, saya tidak sangka secepat ini, yang tidak merisaukan adalah bukan saya yang bermain di padang (sambil berseloroh), kita ada kapten yang bagus, pemain yang baik, pemain muda yang amat positif.

“Ya final ini akan menjadi yang pertama buat saya, pertama juga buat Nooa (Laine),  Harith Haiqal,  pengalaman pertama untuk sebahagian daripada staf (kejurulatihan).

“Kita akan melaluinya dengan senyuman kerana kita adalah underdog berdepan pasukan yang 10 kali juara (Liga Super).”

Kali terakhir Selangor berada di final Piala FA adalah pada edisi 2018 ketika muncul naib juara selepas tewas kepada Pahang.

Sementara gergasi Lembah Klang itu muncul juara kali terakhir pada 2009, dengan menewaskan Kelantan.