KEJAYAAN PDRM FC menewaskan pasukan Kedah Darul Aman FC dalam aksi Liga Super sebelum ini menjadi penyebab Pengurus Pasukan dan Ketua Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari menghormati pencabar mereka dalam pusingan kedua Piala FA apabila kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Jumaat.
Solari juga menganggap saingan Piala FA berbeza dengan aksi Liga Super kerana ianya adalah perlawanan kalah mati dan pelbagai kejutan boleh berlaku dalam pertandingan piala dengan skuad Sang Saka Biru dilihat sebagai pasukan ‘giant killer’ musim ini.
Bekas pembantu jurulatih skuad muda Argentina itu juga berkata dia akan membuat keputusan sama ada akan melakukan penggiliran pemain pada sesi latihan terakhir dan mahu semua pemain kekal fokus bagi menghadapi perlawanan ini.
It’s David versus Goliath. FA Cup is back. #pdrmfc #sangsakabiru #upthecops #atourownpace #pialafa2023 #jdtpdrm pic.twitter.com/LrzWcECnlx
— PDRM Football Club (@officialpdrmfc) April 13, 2023
“Kenapa saya katakan PDRM FC pasukan `giant killer’. Ini kerana mereka pernah tewaskan Kedah pada aksi Liga Super dan mereka tidak kekok untuk menang di laman lawan malah ia menunjukkan pasukan itu mampu melakar kejutan terhadap mana-mana pasukan yang mereka hadapi di padang.
“Kita tidak akan mengambil mudah pada perlawanan itu nanti, sebaliknya akan memberi fokus sepenuhnya untuk memburu kemenangan dan perlu mengambil kesempatan beraksi di laman sendiri di hadapan para penyokong setia kami.
“Sama ada saya akan melakukan penggiliran pemain atau tidak, semuanya bergantung kepada sesi latihan terakhir kerana saya mahu pemain yang bakal beraksi dalam kesebelasan utama terus mengekalkan konsistensi dalam permainan tanpa membuat kesilapan mudah dan dijangkakan ia perlawanan berintensiti tinggi,” katanya.
JDT selaku juara bertahan tidak akan memberi laluan mudah buat skuad kendalian Azzmi Aziz dan akan mengekalkan corak permainan pantas dan tersusun malah ingin memastikan kelebihan beraksi di laman sendiri akan digunakan sepenuhnya.
Solari juga mahu posisi tengah diperkemaskan lagi dan mungkin akan ada penambahbaikan dalam pasukan bagi memastikan PDRM FC tidak mengambil kesempatan atau mengawal permainan dengan menguasai posisi berkenaan.
“Kita akan awasi taktik permainan PDRM yang saya anggap mampu beri tentangan kerana bagi mereka tiada apa perlu dibimbangkan sekiranya tewas kepada JDT dan situasi itu yang membimbangkan kerana mereka boleh menyinar terutama beraksi menentang JDT,” tambahnya.
Harimau Selatan kini berada pada tahap prestasi terbaik dalam Liga Super dengan lapan kemenangan dari lapan perlawanan manakala PDRM pula melakukan kejutan dengan dua kemenangan dan bersedia melakar kejutan terhadap JDT.