PERUBAHAN yang dilakukan pengendali, Aidil Sharin Sahak pada babak kedua menyaksikan Kuching City berjaya mengubah corak permainan dan mengimbangi kekuatan Kuala Lumpur City sebelum mencatatkan kemenangan 2-3 dalam saingan Piala FA 2024-25.
Kuching City berjaya mencipta kejutan apabila jaringan pada minit-minit akhir masa tambahan oleh Zahrul Nizwan memastikan skuad The Cats menunjukkan pintu keluar kepada finalis muka lalu di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Jumaat.
Aidil berkata semangat pemain yang tidak berputus asa meskipun ketinggalan menjadi penyebab utama kemenangan ini dan dia sangat gembira dengan perkembangan ini kerana skuadnya dibarisi 80 peratus muka baharu.
“Kredit kepada pemain atas persembahan hari ini. Separuh masa pertama kami tidak bermain seperti yang kami aturkan kerana mungkin tanpa pemain utama yang banyak mengambil bola namun begitu, para pemain gantian berjaya berikan aksi terbaik.
“Beberapa perubahan pada babak kedua dapat ubah keadaan terutama di bahagian tengah meskipun ramai pemain yang tidak cergas sepenuhnya seperti Syahmie Iszuan dan Baggio Test tetapi pemain tetap yakin walaupun ketinggalan dan saya harap perkara ini kekal sepanjang musim ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Aidil juga menerima keputusan yang dilakukan Video Bantuan Pengadil (VAR) yang dilihat banyak membantu pasukannya apabila gol minit akhir Kuala Lumpur City dibatalkan dan Kuching City dapat mengelak sepakan penalti pada awal separuh masa kedua masa tambahan.
“Bola sepak kini mempunyai sistem VAR tetapi saya tidak boleh komen kerana ia bukan tugas saya tetapi ianya adil dan pengadil jalankan tugas dengan baik dan harap perkara akan jadi lebih baik selepas ini,” jelasnya.
Kejayaan mencatatkan kemenangan meletakkan Kuching City di peringkat suku akhir untuk bertemu sama ada Selangor atau Negeri Sembilan namun Aidil tidak peduli siapa pun lawan mereka kerana dia hanya fokus kepada memperbaiki mutu pasukan.
“Kemenangan ini berikan menaikkan moral buat pasukan selepas dua kali hampir melakukannya. Para pemain akan rasa ini adalah persembahan yang baik sekaligus buatkan mereka percaya dengan kemampuan diri sendiri.
“Tdak kisah siapa lawan di suku akhir dan kami akan fokus dahulu kepada aksi bertemu Terengganu dalam liga dan kemudian akan rancang selepas dapat tahu siapa lawan kita nanti,” jelasnya.