LIVERPOOL dianggap salah satu pasukan yang menjadi kegemaran untuk menjuarai Piala FA musim ini. Bagaimanapun, pengurus Manchester United, Erik Ten Hag, tidak gentar menghadapi pasukan Jurgen Klopp.

Ini menunjukkan keyakinan yang tinggi dari Ten Hag, dan pertemuan antara kedua pasukan pasti akan menjadi satu perlawanan yang menarik untuk ditonton.

Manchester United layak ke suku akhir Piala FA 2023/2024 selepas membenam Nottingham Forest dengan jaringan 1-0 awal pagi Khamis.

Undian dilakukan sejurus tamat perlawanan dan menyaksikan Manchester United akan menentang Liverpool untuk bersaing merebut tiket ke separuh akhir.

Memetik wawancara BBC Sports selepas perlawanan, Erik Ten Hag mengakui gembira berdepan Liverpool.

Katanya, perlawanan ini boleh menjadi perlawanan untuk membuktikan pasukannya mampu bersaing dengan pasukan terkemuka Inggeris.

“Terdapat banyak pasukan yang bagus dalam Liga Perdana Inggeris, dan keputusan ini)menentang Liverpool dalam suku akhir Piala FA) adalah cabaran besar buat kami,” kata Ten Hag.

Image

Aksi Liverpool dan Manchester United sentiasa menjanjikan elemen drama dan kontroversi.

Tambahan pula, Ten Hag berkata bahawa pasukannya langsung tidak bimbang untuk menghadapi Liverpool di suku akhir.

Malah, katanya pasukannya benar-benar bermotivasi untuk memenangi perlawanan ini.

“Kami tidak sabar untuk bermain perlawanan ini (lwn Liverpool). Kami sukakan cabaran,” katanya.

Sebelum bertemu Liverpool, Manchester United harus fokus pada perlawanan besar pada hujung minggu. The Red Devils dijadual menentang ‘jiran bising’, Manchester City di Etihad pada aksi EPL, 3 Mac ini.