SKUAD Sabah FC mahu mengelak dibolosi gol awal ketika pertemuan suku akhir kedua saingan Piala FA 2024-25 menentang Terengganu FC di Stadium Likas pada Sabtu.
Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee berkata, jika dibolosi awal sudah tentu anak-anak buahnya perlu berusaha berlipat kali ganda untuk memastikan mereka dapat memberikan saingan yang secukupnya.
Jika mereka mampu untuk mendapatkan gol sudah tentu ini akan membantu meningkatkan semangat juang mereka sekali gus memberikan tentangan hebat kepada Terengganu FC nanti.
“Boleh dikatakan satu laluan yang cukup mencabar tetapi ianya tidak mustahil dan apa yang penting kita tahu semua pemain ingin membuktikan kerana apa yang berlaku di Terengganu merupakan perkara yang amat sukar.
“Kita terima dan saya pasti semua pemain mempunyai semangat kental untuk bermain lebih baik di Likas sekali gus kekal mencuba untuk memastikan kita dapat mempengaruhi keputusan dan ianya berpihak kepada Sabah FC,” katanya.
Mengulas mengenai peluang pada saingan kedua Piala FA ini Kim Swee berkata, Sabah FC memerlukan gol yang banyak pada pertemuan kedua ini bagi memastikan mereka dapat melangkah ke peringkat seterusnya.
“Apa yang penting di sini, Sabah FC perlu kekal dengan objektif di mana kita harus mencuba untuk mendapatkan gol-gol awal. Paling penting, kita kekalkan tahap saingan sehingga minit-minit terakhir pada perlawanan ini.
“Ketika ini Cifu dan Gabriel masih lagi belum pulih sepenuhnya termasuk beberapa pemain lain, kita masih lagi mempunyai tempoh sebelum memutuskan siapa bakal diturunkan namun, sesiapa sahaja diturunkan, saya percaya mereka tahu apa yang mereka akan lakukan.
“Kita pastikan Sabah FC harus mendapatkan keputusan yang positif sabtu ini sekali gus mengharapkan agar semua pemain dapat memberikan kerjasama baik dalam perlawanan ini nanti,” jelasnya.
Skuad Badak berdepan tugasan besar di Likas selepas ketinggalan empat gol secara agregat selepas tewas 0-4 di Kuala Terengganu pada pertemuan suku akhir pertama Jumaat lalu dan kini mengharapkan magis untuk melangkah ke separuh akhir.