PEMAIN pertahanan muda Terengganu FC, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili mahu membantu pasukannya layak ke perlawanan akhir Piala FA musim ini.
Ini merupakan penampilan ketiga berturut-turut untuk pasukan Penyu bermain di peringkat separuh akhir.
Pasukan dari Pantai Timur itu mahu mengulangi kejayaan musim 2022 dengan mengalahkan pasukan lawan yang sama ketika itu, Selangor FC untuk layak ke final Piala FA.
Walau bagaimanapun, pemain berusia 21 tahun itu sedar ianya bukan tugas yang mudah untuk mengulangi pencapaian 2022 layak ke final kerana bakal berdepan dengan pasukan elit.
Jelasnya, penampilan kali pertamanya pada perlawanan separuh akhir mahu diabadikan dengan noktah kegembiraan, dengan pasukannya kini berada pada tahap prestasi terbaik.
“Jika diturunkan oleh jurulatih, sudah pasti saya akan memberikan aksi 100 peratus sebagaimana sebelum ini untuk membantu pasukan memburu bekalan selesa pada aksi pertama.
“Lagipun aksi separuh akhir nanti bakal menjadi penampilan pertama saya di pentas itu sepanjang karier, sejujurnya saya begitu teruja dan bagaikan tidak sabar untuk menanti tiupan wisel pertama pengadil.
“Harapan saya siapa pun yang bakal diturunkan jurulatih nanti, mereka mampu menyajikan aksi terbaik dan bertenaga untuk melangkah ke pentas final selepas terkandas pada peringkat sama musim lalu kepada Kuala Lumpur City FC,” katanya.
Terengganu FC akan menerima kunjungan Selangor FC dalam aksi separuh akhir pertama pada esok hari di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.