WAKTU operasi Stesen LRT Bukit Jalil akan dilanjutkan hingga 1 pagi pada Ahad ini bersempena perlawanan akhir Piala FA Malaysia 2024 yang melibatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Perlawanan dijadualkan bermula pada pukul 9 malam, Sabtu.
Rapid Rail Sdn Bhd memaklumkan bahawa tren tambahan akan disediakan selepas tamat perlawanan untuk memastikan pergerakan penumpang berjalan lancar dan selesa.
“Operasi di stesen-stesen lain akan berakhir seperti biasa, namun penumpang masih boleh keluar dari stesen tersebut untuk meneruskan perjalanan.
“Waktu operasi di semua stesen pertukaran rel juga akan dilanjutkan bagi membolehkan penumpang meneruskan perjalanan ke destinasi akhir mereka,” menurut kenyataan itu.
Rapid Rail juga mengesyorkan agar penumpang menggunakan kad Touch ‘n Go untuk perjalanan yang lebih mudah dan mengelakkan kesesakan. Bagi pengguna token, disarankan membeli token untuk perjalanan pergi dan balik.
Penumpang turut dinasihatkan untuk menggunakan kemudahan parkir Park N’ Ride yang disediakan di stesen-stesen terpilih.
“Untuk merancang perjalanan dengan lebih baik, sila rujuk media sosial Rapid KL atau aplikasi PULSE untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai status perkhidmatan,” tambah kenyataan tersebut.